Sebanyak 24 negara dan 662 atlet mengambil bahagian dengan Vancouver bertungkus-lumus membuat persiapan selama dua tahun untuk menganjurkannya bagi menebus kegagalan Montreal menjadi tuan rumah pada 1942 dan 1946 akibat perang.

Hasil persiapan rapi itu, tidak hairanlah Vancouver telah meletakkan satu penanda aras baharu dalam penganjuran dan persembahan keseluruhan Sukan Komanwel yang dianggap terbaik ketika itu.

Ia diingati sebagai temasya paling komersial dari segi persaingan, persembahan hiburan, konsep teknikal penganjuran dan penonjolan budaya setempat dalam acara pembukaan serta penutup.

Acara yang paling menjadi tumpuan adalah pertemuan dua jaguh larian sebatu terbaik dunia ketika itu iaitu Roger Bannister dari England dan John Landy dari Australia yang begitu dinanti-nantikan.

Ini kerana mereka merupakan dua atlet yang berjaya me­lakukan catatan di bawah empat minit dan kali pertama bertan­ding bersama. Perlumbaan itu disiarkan secara langsung ke seluruh dunia. Bannister akhirnya memenangi pingat emas setelah menewaskan Landy.

Selain olahraga, ada lapan lagi sukan dipertandingkan iaitu tinju, berbasikal, boling padang, mendayung, renang/terjun, ang­kat berat dan gusti. England kembali muncul juara keseluruhan temasya 1954 dengan me­raih 23 emas untuk menamatkan penguasaan Australia dalam dua edisi sebelum itu.

Negara kita (Malaya yang belum merdeka ketika itu) yang membuat penampilan pertama pada 1950, bagaimanapun tidak menyertai temasya 1954 berikutan berdepan masalah kewang­an untuk ke Vancouver.