Ada yang berpendapat penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi baru-baru ini sebagai tanda Perdana Menteri tidak gembira dengan prestasi anggota Kabinetnya. Bagaimana pun Perdana Menteri menafikannya.

Rakyat seakan-akan menuntut keajaiban dari kerajaan yang baharu mungkin kerana kekecewaan mereka terhadap kerajaan yang lama.

Kemelut yang dihadapi kerajaan baharu seakan-akan berjangkit ke sukan.

Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018 telah lama berakhir, namun sindrom untuk mengatasi kekecewaan Program Podium masih dilihat belum selesai.

Program Podium adalah sa­tu percubaan yang gagal meme­nu­hi objektifnya. Kontinjen kita ga­gal meletakkan diri pada ke­du­dukan 10 terbaik dalam Sukan Komanwel Gold Coast Australia dan Sukan Asia di Jakarta/Palembang.

Kita gagal dalam percubaan bila meletakkan tugas melaksa­na­kan program ini kepada Ins­titut Sukan Negara (ISN). Oleh ke­rana ISN tidak mempunyai pe­ngalaman dalam mengendalikan program atlet berprestasi tinggi maka diambil pegawai kontrak dari luar negara yang sudah tentu perlu dibayar dengan harga tinggi dibandingkan dengan pegawai-pegawai tempatan.

Atlet yang berjaya menyertai program ini dibayar lumayan se­kali. Saya dimaklumkan ada atlet menerima elaun RM7,500 sebulan.

Satu jumlah yang cukup tinggi kalau dibandingkan elaun yang dibayar semasa saya mengendalikan program yang serupa hatta masih lagi tinggi kalau di­banding­kan dengan jumlah elaun yang dibayar sebelum Program Podium dilaksanakan.

Kepercayaan duit boleh mem­beri rangsangan luar biasa ke­pada atlet untuk mencapai kejayaan dalam sukan adalah satu angan–angan. Ternyata atlet dalam Program Podium ini gagal membawa hasil yang telah dihajatkan.

Ganjaran RM1 juta kepada pemenang pingat emas Sukan Olimpik telah diluluskan sebelum temasya 2008 di Beijing. Sehingga sekarang hadiah tersebut belum dimenangi mana–mana atlet negara kita. Duit yang banyak tidak semestinya boleh menjelmakan kejayaan dikehendaki.

Program Podium juga menya­sarkan pingat emas pertama da­lam Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam meneruskan usaha untuk mencari pingat keramat tersebut.

Jumlah kumpulan atlet teramai di negara ini adalah mereka dari kelompok Sukan SEA sahaja. Terdapat sedikit atlet yang boleh digolongkan dalam kumpulan Sukan Asia dan Sukan Komanwel manakala jumlah atlet Sukan Olimpik adalah dalam lingkungan belasan orang.

Kumpulan atau kelompok yang saya maksudkan ialah me­reka yang mempunyai potensi memenangi pingat bukan atlet yang semata-mata berjaya me-layakkan diri.

Apa yang mendukacitakan ia­lah kerenah sebilangan kecil kumpulan atlet Sukan SEA se-olah–olah minta dilayan seperti atlet yang mampu memenangi pingat Olimpik.

Yang menghairankan, ada pula pihak memberi sokongan kepada atlet yang berperangai seperti itu hingga tujuan yang lebih besar iaitu untuk menyediakan sekumpulan atlet berkebolehan dari semua segi untuk mencapai kejayaan lebih tinggi daripada Sukan SEA seolah–olah tidak penting.

Sebenarnya Sukan SEA yang diadakan setiap dua tahun sekali banyak menimbulkan kesan negatif. Minda kita dibelenggu oleh temasya ini kerana ia lebih kerap diadakan iaitu setiap dua tahun.

Tumpuan yang lebih diberikan apabila negara kita menjadi tuan rumah. Sudah menjadi kelaziman setiap tuan rumah pasti mahu memperbaiki pungutan pingat emas masing–masing sama ada menjadi juara keseluruhan atau memperbaiki pencapaian.

Kita juga terjebak dengan sindrom tersebut sebagaimana yang ditunjukkan pada 2017 apabila Kuala Lumpur menjadi tuan rumah. Selagi ada sukan kuat yang boleh memberi kemenangan pi-ngat emas cuba dipertandingkan.

Penulis adalah bekas 
Ketua Pengarah MSN