Presiden Majlis Olim­pik Malaysia (MOM), Tunku Imran Tuan­ku Ja’afar berkata, mesyuarat Ja­watankuasa Pemilihan yang dipengerusikannya hari ini sudah mengumpul tetapi belum memuktamadkan 312 nama atlet lelaki dan 233 wanita.

“Angka awal ketika ini ialah 551 atlet tetapi berkemungkinan besar makin mengecil apabila dimuktamadkan.

Ter­dapat penyer­taan di bawah kate­gori A (dibiayai se­pe­nuhnya) dan B (dibiayai sendiri persatuan) yang mungkin kebanyakan pasu­kan atau atlet tidak pergi.

“Peraturan penganjur Sukan Asia menetapkan angka muktamad penyertaan setiap kontinjen negara ialah 30 hari sebelum temasya,” katanya selepas mesyuarat jawatankuasa itu di Wisma MOM di sini hari ini.

Secara kasar katanya, Malaysia tidak akan menyertai pentatlon moden, bola baling, besbol & sofbol, jet ski, gusti, tenis dan tenis ringan serta beberapa cabang tertentu seni bela diri (jujitsu, sambo dan kurash), polo air, berbasikal bukit & BMX, menembak running target, roller-sport ska­ting, equestrian eventing, gimnastik trampolin dan kenu & ka­yak sprint.

Antara sukan yang terus akan dipertimbangkan jawatankuasa itu ialah renang, olahraga, mema­nah, bola keranjang, boling, tinju, bridge, berbasikal, lawan pedang, bola sepak, kabaddi, menembak, skuasy dan bola tampar.

“Ada sukan-sukan yang persatuannya perlu buktikan kepada kami bahawa mereka boleh bersaing dengan negara lain dengan berwibawa.

“Tiada istilah pelancong sukan ke Sukan Asia. Walaupun mereka sanggup membiayai sendiri perbelanjaan ke sana, mesti ada standard tertentu dan tidak boleh menghampakan negara dengan keputusan yang teruk,” katanya.