Menanti di Jakarta nanti ialah pencabar bertaraf dunia dari China mahupun Jepun, Korea Selatan, Kazakhstan dan Uzbekistan apatah lagi Sukan Asia merupakan penampilan sulung gimnas berirama berusia 23 tahun itu.

“Setiap pertandingan ada cabaran yang berbeza dan tersendiri tetapi memang Sukan Asia nanti lebih getir sebab ada gimnas China, Jepun, Korea Selatan, Kazakhstan dan Uzbekistan.

“Bergantung kepada siapa lawan kita dan paling penting, sejauh mana kita buat persediaan dan persembahan terbaik pada hari pertandingan,” kata Amy sekembalinya dari Gold Coast di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di sini hari ini.

Amy menggondol emas acara individu reben di Pusat Sukan Tertutup Coomera, Jumaat lalu selain sebutir perak berpasukan (bersama Koi Sie Yan dan Izzah Amzan) dan dua gangsa bagi acara gelung dan all-around.

Dia muncul gimnas berirama kedua negara meraih emas Sukan Komanwel selepas Elaine Koon pada temasya 2010 di Delhi dalam acara gelung.

Namun Amy mampu menilai kehebatan awal pesaing Asia dalam Kejohanan Gimnastik Berirama Senior Asia Ke-10 di Arena Axiata, Bukit Jalil dari 29 April hingga 2 Mei ini.

“Saya dan rakan sepasukan tidak dapat berehat panjang, mungkin beberapa hari sahaja sebab akan hadapi Kejohanan Asia pula dalam dua minggu sahaja lagi,” katanya.

Sementara itu Sie Yan yang juga pemenang dua perak individu aparatus bola dan aparatus belantan memberitahu, sasarannya nanti ialah memasuki pusingan akhir kejohanan berkenaan.

“Seperti Amy yang mengikut jejak Elaine, saya perlu semakin meningkat dalam empat tahun akan datang. Walau apa pun, saya tetap gembira dan bangga dapat menyumbangkan pingat buat negara. Perkara penting saya pelajari daripada Sukan Komanwel ialah kita kena kuat mental dan fizikal serta konsisten dalam persembahan.

Izzah Amzan pula berkata, Sukan Komanwel membolehkannya melihat ruang-ruang untuk meningkatkan diri dan pentas terbaik melakukannya mungkin di Bukit Jalil nanti.