Syed Saddiq berkata, selain itu juga kementeriannya telah mengadakan perbincangan dengan pihak polis negara berkenaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai keselamatan atlet yang mengambil bahagian dalam temasya dari 18 Ogos hingga 2 September ini.

“Sebelum ini saya ke Indonesia melakukan tinjauan di Palembang dan Jakarta, saya sempat berjumpa dengan Presiden Indonesia Joko Widodo dan menterinya berbincang isu keselamatan (bersempena Sukan Asia).

“Mereka berjanji untuk memastikan keselamatan atlet kita terjamin. Beberapa perkara perlu diperhalusi, antaranya saya dimaklumkan pihak PDRM akan pergi lebih awal ke Indonesia bagi mendapatkan taklimat lanjutan,” katanya ketika ditemui pemberita pada kayuhan Maju Expressway (MEX Ride 2018) di kawasan Rehat dan Rawat (R(amp)R) Seri Kembangan di sini, hari ini.

Jaminan keselamatan itu dianggap penting memandangkan beberapa insiden membabitkan pasukan Malaysia di negara itu dengan yang terbaharu pada 12 Julai di mana para pemain pasukan bola sepak bawah 19 tahun dilontar botol dan batu semasa kejohanan AFF di Stadium Gelora Delta di Sidorajo. - BERNAMA