Mat Sport
Mat Sport

Pada Mat, ini cara paling selamat untuk meletakkan sasaran supaya tidak dihentam teruk jika gagal merealisasikannya. Alasan yang lebih selamat lagi ialah ko­nonnya kontinjen mahu atlet negara tidak tertekan dalam melaksanakan tugas mereka di Jakarta dan Palembang nanti.

Cara ini boleh dianggap ibarat sudah awal-awal lagi ‘sediakan payung sebelum hujan’ sekali gus membuktikan sama ada Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan persatuan sukan sendiri tidak yakin dengan kemampuan atlet negara yang ada dan sasaran yang ditetapkan.

Kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sudah pasti menganggap dengan memiliki jaguh dunia seperti Datuk Nicol David (skuasy), Azizulhasni Awang (basikal trek), bo­ling dan Mohd. Al-Jufferi Jamari (silat olahraga) merupakan satu jaminan mudah untuk mencapai sasaran tersebut.

Kalau ikutkan Mat, sebenar­nya kita tidak boleh menganggap begitu. Kita sepatutnya tidak terlalu mengharapkan kepada sukan-sukan yang sudah terbukti Malaysia handal di peringkat dunia seperti badminton, skuasy, basikal trek, silat olahraga dan terjun semata-mata.

Sebaliknya kita perlu fikir macam mana boleh ‘mencuri emas’ menerusi sukan-sukan lain yang lebih terbuka seperti karate, wusyu, gimrama, renang berirama, taekwando dan angkat berat atau apa sahaja sukan.

Kalau dikaji prestasi semasa, Mat berpendapat kontinjen negara sukar untuk mencapai sasaran itu. Bukan berfikiran negatif sebelum berjuang tetapi ini berdasarkan ‘atas kertas’ jika dibuat perbandingan dengan negara-negara yang bertanding mengikut sukan yang kita handal.

Ambil contoh badminton, China kuat dalam acara beregu campuran, beregu lelaki manakala Jepun kuat dalam perseorangan lelaki, perseorangan wanita dan beregu wanita. Ini belum diambil kira Taiwan, Indonesia dan India.

Basikal trek pula, pelumba negara perlu melepasi halangan Jepun, Kazakhstan dan Korea Selatan manakala terjun sudah pasti China ada di situ sebagai pilihan utama. Mungkin skuasy dan silat olahraga sedikit cerah, itu pun jika Nicol tidak lelah dek usia dan silat tidak dikotori de­ngan pengadilan berat sebelah.

Congak punya congak, Mat merasakan Sukan Asia kali ini ibarat bom jangka buat atlet Podium negara. Jika mereka gagal menghasilkan apa yang diharap­kan, Mat percaya Program podium akan dibubarkan selepas temasya edisi ke-18 ini.

Selepas jutaan ringgit di­belanjakan kerajaan untuk menanggung karier dan program latihan mereka, kalau atlet podium tidak dapat menghasilkan sesuatu yang diharapkan, kerajaan Pakatan Harapan yang sedang mengambil langkah jimat cermat tidak mustahil berbuat demikian.

Jadi ayuh atlet negara! Buktikan apa yang dilaburkan selama ini berhasil.