Mat Sport
Mat Sport

Kemasukan beberapa jenis sukan yang tiada dalam program Sukan Asia atau Olim­pik malah hanya bertaraf sukan rakyat dan tradisional negara ter­ten­tu, kian menyerlahkan Sukan SEA sebagai temasya muhibah atau bersifat setia­kawan sahaja.

Tahap daya saing atau terhandal kalangan yang terhandal di rantau ini diketepikan semata-mata mahu menjaga hati jiran-jiran yang datang dari jauh bertanding dan berharap tidak pulang dengan tangan kosong.

Mat Sport teringat satu ungkapan Inggeris, ‘bukankah menjadi ikan besar di kolam besar lebih baik daripada beranggapan gah seperti ikan besar tetapi di kolam yang kecil?’

Bimbang akan kemungkinan tiada lagi penyertaan negara dalam sukan berkenaan kerana asyik kalah, menjadikan Sukan SEA termasuk edisi ke-29, Kuala Lumpur 2017 ibarat ‘sukaneka keluarga’ sahaja.

Acara 3 (berkaitan atau berangkai) chinlone yang hanya disertai tiga negara, Malaysia, Brunei dan Filipina sepatutnya dibatalkan sahaja. Untuk apa bertanding kalau semuanya sudah menjamin pingat masing-masing. Begitu juga tiadanya Thailand dalam antara regu sepak takraw. Bernilaikah emasnya kalau Malaysia yang memenanginya?

Inilah jadinya kalau ada peraturan yang kononnya mahu menyekat monopoli kuasa utama sukan tertentu. Hendak bagi semua negara seronok sampai sanggup gadaikan persaingan yang sihat dan adil atau atas dasar merit.

Sepatutnya syarat penyertaan diperketatkan. Minimumnya mestilah lima negara bagi setiap jenis sukan atau acara yang dipertandingkan pada Sukan SEA. Barulah ada semangat dan pendorong untuk menjadi yang terhandal dan berhabis-habisan supaya tidak kempunan pingat langsung.

Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) juga wajar tegas menapis sukan-sukan yang bermusim iaitu yang hanya tumbuh menjelangnya temasya dwitahunan di negara bakal tuan rumah.

Mat bimbang selepas chinlone dapat lampu hijau sejak Sukan SEA Naypyidaw 2013, arnis atau sipa (mirip sepak takraw) pula muncul di Filipina selaku tuan rumah 2019 kerana kedua-duanya sukan tradisional mereka.

Kemudian mungkin tiba pula giliran Indonesia, muncul pula sukan seni bela diri mereka, tarung derajat dalam Sukan SEA (pernah cuba dilobi oleh badan induknya menerusi sebuah kejohanan di Kuala Lumpur, tahun lalu selain menjadi demonstrasi pada 2011).

Jika sukan berkenaan tidak aktif menganjurkan kejohanannya secara tahunan atau berkala tetap di peringkat Asia Tenggara mahupun Asia, jangan lagi benarkan masuk Sukan SEA. Kekalkan misi utama Sukan SEA iaitu mempromosi jenis sukan program Olimpik.

Olimpik yang sebenar ialah Olimpik Musim Panas dan Mat tidak mahu lagi melihat ada lagi hoki ais atau luncur ais (program Olimpik Musim Sejuk) seperti di Kuala Lumpur, bulan depan dalam Sukan SEA selepas ini.

Dua edisi Sukan SEA menje­lang setiap kitaran empat tahun Olimpik wajar menjadi kayu pengukur awal negara-negara rantau Asia Tenggara untuk menyaingi kuasa-kuasa besar sukan di Asia seperti China, Jepun, Korea Selatan dan negara-negara Asia Tengah.