Dua atlet olahraga, Noor Iasah meraih pingat emas dalam acara 400 meter (m) T20 (masalah pembelajaran) dengan catatan masa 60.86 saat manakala suaminya Muhammad Hafiz memenangi pingat perak acara lontar peluru F37 (cerebral palsy) dengan catatan 10.50m.

Muhammad Hafiz yang mendirikan rumah tangga pada 2010 berkata, kejayaan mereka berdua hari ini akan diingati buat selamanya dan dia menghadiahkan kemenangan itu kepada anak kesayangan Nur Iman Qaisara yang berusia lima tahun.

“Ini kali pertama kami meraih pingat bersama di tanah air sendiri sebagai pasangan suami isteri.

“Isteri saya sentiasa menjadi pembakar semangat dan saya pula akan menjadi pendorong kepada Iasah untuk melakukan yang terbaik.

“Kami berkenalan sejak 2007 di Korat dan mula berkawan rapat pada 2009 sebelum bernikah pada 2010 selepas Sukan Para Asia,” kata Muhammad Hafiz.

Dalam pada itu, Noor Iasah berkata, status dia dan suami sebagai atlet negara membuatkan mereka lebih bahagia terutama apabila masing-masing dapat meraih pingat untuk negara.

“Setiap kecemerlangan saya adalah hasil sokongan keluarga termasuk suami malah saya anggap penyertaan kali ini amat istimewa kerana kami meraih kejayaan di Malaysia.

“Sebelum ini kami pernah pernah meraih pingat bersama juga tetapi bukan di Malaysia tetapi dalam Sukan Para ASEAN 2015 di Singapura,” katanya.

Noor Iasah memenangi pingat emas dalam acara kegemarannya 400m T20, menewaskan lawan dari Indonesia, Tiwa (63.97s) manakala pingat gangsa milik seorang lagi peserta tuan rumah Nur Alia Ardiela Natasya Ibrahim (65.48s).

Sementara itu, dalam saingan lontar peluru T37, Muhammad Hafiz tewas kepada atlet dari Indonesia, Ahmad Fauzi (10.57m) manakala gangsa milik rakan senegara Tomson Lim (9.95m).

Tahun perkenalan antara Muhammad Hafiz Abu Bakar dan 
Siti Iasah Mohamed Ariffin di Korat