Melihat gambar juara-juara terdahulu yang dipaparkan di sepanjang laluan Stadium Arthur Ashe, pemain itu nyata takjub dengan hasil fotografi tersebut.

“Semua pemain berjaya merakamkan gambar paling comel di dinding stadium ini dengan trofi masing-masing dan itu yang paling saya ingati.

“Jadi, apabila gambar saya diambil, saya amat bimbang peluh yang membasahi tubuh saya kerana saya sentiasa berfikir mungkin inilah gambar yang akan mereka gunakan nanti dan saya pula kelihatan amat teruk,” kata Stephens.

Begitulah reaksi spontan bernada lucu yang diucapkan pemain itu selepas menang 6-3, 6-0 ke atas senegara yang juga sahabat baiknya Madison Keys dalam perlawanan akhir Terbuka AS untuk membolot hadiah wang tunai AS$3.7 juta (RM15.5 juta).

Stephens, yang hanya memenangi wang tunai sebanyak AS$310,000 (RM1.29 juta) pada tahun ini selepas terpaksa berehat selama 11 bulan dan hanya kembali beraksi pada Julai lalu setelah ditimpa kecederaan kaki kiri, berkata keinginannya untuk merangkul lebih banyak gelaran utama kini semakin membara.

“Sudah tentu. Adakah anda lihat nilai cek yang wanita tadi serahkan kepada saya? Sudah tentu jawapan saya, ya, bukankah tarikan tersebut akan membuat anda mahu terus bermain tenis. Saya tidak pula tahu sebab lain,” katanya.

Ketika ditanya sama ada dia berasa tidak selesa sewaktu menutup aksinya menerusi kemenangan 6-0 ke atas sahabatnya, Stephens memberitahu, perlu diingat Keys juga mendapat hadiah AS$1.825 juta (RM7.65 juta).

“Simpati kepada dia? Dia pun berada dalam perlawanan akhir juga. Adakah anda melihat cek yang dia dapat? Saya pasti dia berada dalam keadaan baik,” kata Stephens yang merupakan teman wanita kepada pemain bola sepak AS, Jozy Altidore.

Ketika dimaklumkan bahawa dia hanya melakukan enam kesalahan sendiri sewaktu melakar kemenangan dalam tempoh 61 minit, Stephens nyata teruja dan terkejut.

“Tutup pintu depan, Saya tidak fikir pernah berlaku sebelum ini. Oh tuhanku. Statistik itu, boleh tolong rakamkan (gambar) untuk saya,” kata Stephens membuat permintaan kepada pemberita. – AFP