Dengan menjadikan Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI) Johor Bahru sebagai mangsa mereka dalam perlawanan akhir yang sengit, menarik dan cukup mendebarkan, SSN Melaka kini muncul satu-satunya pasukan yang pernah mencipta hatrik dalam sejarah kejohanan ini.

Selepas bertarung lebih satu jam dengan kedua-dua regu menggunakan kelebihan tekong masing-masing, SSN Melaka akhirnya menang 19-21, 25-23, 21-17 untuk menerima hadiah wang tunai RM5,000 selaku juara manakala SSTMI terpaksa berpuas hati dengan naib juara untuk menerima RM2,000.

“Saya mengakui kedua-dua pasukan bermain dengan baik, seimbang dan tekong masing-masing juga sama-sama cemerlang. Tetapi pemain saya hanya lebih cepat sedikit dapat mengatasi perasaan gemuruh beraksi dalam perlawanan akhir berbanding SSTMI.

“Walaupun goyah dalam set pertama tetapi pemain saya dapat mengatasinya dalam set kedua dan ketiga dengan baik. Itu pun selepas diberi semangat berterusan oleh tiga jurulatih berbeza,” kata jurulatih utama SSN Melaka, Syahmir Abdul Rashid selepas perlawanan akhir itu.

Pengurus SSTMI, Kasbolah Mohamed Idris pula berkata kawalan bola dan permainan yang lebih baik menjadi faktor pemisah dan kelebihan buat SSN Melaka untuk menjadi juara walaupun pada satu ketika pemainnya sudah hampir untuk menang.

“Servis tekong kami tidak begitu konsisten berbanding tekong SSN Melaka manakala apit kanan mereka juga tidak banyak buang bola dan melakukan kesilapan berbanding apit kanan kami.

“Satu lagi faktor adalah pertahanan regu kami kurang baik berbanding berbanding SSN Melaka. Mereka bijak mengawal tekanan ketika dalam situasi genting,” ujarnya yang hampa tidak dapat merangkul kejuaraan untuk kali keempat dalam kategori B-14 ini.