Dalam aksi separuh akhir hari ini, regu SSN Melaka bimbingan Syahmir Abdul Rashid menewaskan regu SSN Kelantan 21-15, 21-12.

Ini tahun ketiga berturut-turut SSN Melaka layak ke final tetapi kali ini mereka menggandingkan tekong Mohd. Shakir Jamal, apit kiri Mohd. Zafar Jaafar dan apit kanan, Arif Daniel Mohammad Aripin.

“Kami kalau boleh mahu mencipta kejuaraan hatrik selepas muncul juara pada 2015 dan 2106.

“Harap pemain tidak gemuruh bermain seperti dalam separuh akhir hari ini. Mereka tidak dapat bermain seperti biasa tetapi mujur kami berjaya mengawal permainan,” kata Syahmir.

Beliau mengakui aksi final di Quill City Mall Kuala Lumpur esok sudah pasti berbeza tekanannya dan mahu anak-anak buahnya memberi tumpuan yang tinggi apabila menentang Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI) nanti.

“Kekuatan kedua-dua pasukan adalah seimbang. Jadi hanya pemain yang boleh menentukan sendiri cabaran yang mahu mereka berikan di final serta bagaimana mereka mengawal tekanan dan perasaan ketika di dalam gelanggang,” tegasnya. - UTUSAN ONLINE