Dalam perlawanan separuh akhir, regu SSN Melaka bimbingan Syahmir Abdul Rashid menewaskan regu SSN Kelantan 21-15, 21-12.

Ini tahun ketiga berturut-turut SSN Melaka layak ke perlawanan akhir tetapi kali ini mereka menggandingkan tekong Mohd. Shakir Jamal, apit kiri Mohd. Zafar Jaafar dan apit kanan Arif Daniel Mohammad Aripin.

“Kami kalau boleh mahu mencipta kejuaraan hatrik selepas muncul juara pada 2015 dan 2106.

“Harap pemain tidak gemuruh bermain seperti dalam separuh akhir hari ini. Mereka tidak dapat bermain seperti biasa tetapi mujur kami berjaya mengawal permainan,” kata Syahmir.

Dia mengakui perlawanan akhir di Quill City Mall, Kuala Lumpur esok sudah pasti berbeza tekanannya dan mahu anak-anak buahnya memberi tumpuan yang tinggi apabila menentang Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI) nanti.

Sementara itu SSTMI dari Johor Bahru meletakkan harapan tinggi kepada servis kuda tekong Mohd. Amir Roshaidi untuk me­raih gelaran juara.

Selepas berjaya menjinakkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keroh, Kuala Krai, Kelantan dalam separuh akhir hari ini menerusi kemenangan 21-9, 20-22, 21-12, pengurus pasukan Kasbolah Mohamed Idris yakin anak buah­nya mampu mengatasi tentangan SSN Melaka esok.

“Pemain kami cukup berdisiplin dalam permainan dan itu kunci kejayaan kami mara ke final kali ini. Kami mengakui banyak meraih mata penting menerusi servis kuda tekong, jadi kelebihan itu yang akan kami gunakan sekali lagi untuk menjinakkan tenta­ngan SSN Melaka di final nanti,” katanya.

Ini merupakan kali keempat SSTMI mara ke akhir B-14.