Kesukaran mengejar semula banyak pelajaran yang tertinggal gara-gara persiapan O­limpik selama berbulan-bulan menyebabkan penuntut Sekolah Sukan Bukit Jalil ini sekadar berharap untuk lulus dengan baik dalam SPM.

“Peperiksaan Percubaan SPM pun saya tidak jawab tahun ini. Hanya SPM jadi peperiksaan pertama saya. Hendak kejar balik yang tertinggal itu lebih mencabar daripada Olimpik kerana sukan memang kegemaran saya sedangkan belajar, tertekan juga sekarang.

“Cuma harap dapat lulus selepas beralih aliran daripada ekonomi kepada tasauf Islam yang hanya perlu banyak dibaca dan didalami,” katanya yang meraih tempat kelima 3 meter papan anjal seirama dan kesembilan 10 m platform Olimpik Rio.

Atlet kelahiran Kuala Lumpur berusia 17 tahun ini pernah mengambil guru peribadi untuk membantunya menelaah pelajaran yang tertinggal tetapi meng­anggap kurang sesuai dengan cita rasanya yang lebih selesa belajar di sekolah dengan rakan-rakan sekelas.

Dia ditemui selepas Forum Inspirasi Bersama Ikon Sukan bersama bekas penjaga gol hoki negara, Roslan Jamaluddin sempena majlis penutupan Bulan Sukan Felda 2016 di Menara Felda di sini hari ini.

Mengenai kejohanan akan datang tahun ini, dia berkata: “Saya kini cuma berlatih di gimnasium untuk mengekalkan kecergasan. Memandangkan tiada lagi pertandingan. Kami hanya menanti jadual 2017 dikeluarkan oleh FINA (Persatuan Renang Antarabangsa).

“Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil pun masih ditutup kerana kerja pengubahsuaian. Hendak berlatih di Kompleks Renang Cheras Kuala Lumpur pula kemudahannya sudah ­usang.”

Pencapaian terbaik Nur Dhabitah ialah memenangi pingat gangsa platform seirama 10m Sukan Komanwel Glasgow 2014, selain muncul juara 10m platform individu Piala Asia 2015 yang melayakkannya ke Sukan Olimpik 2016.