Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik London 2012 dalam acara 10 meter platform itu berkata, masyarakat Bidayuh ibarat keluarga besar baginya kerana mereka tidak putus-putus memberikan semangat dan galakan untuk melihatnya memberikan persembahan terbaik.

“Saya adalah antara atlet yang telah membuatkan negara berbangga dan kerana itu mereka (masyarakat Bidayuh) berkongsi perasaan yang sama.

“Memandangkan kebanyakan masa saya dihabiskan di luar negara untuk mengikuti latihan, mereka memberikan sokongan melalui panggilan telefon dan mesej melalui media sosial,” katanya.

Pandelela yang berasal dari Bau, dekat Kuching akan bertanding dalam acara 10 meter platform dan 10 meter platform seirama dalam temasya Olimpik kali ini.

Dalam pada itu, Pandelela berkata dia sudah terbiasa dengan tekanan dalam penampilan kali ketiga di Olimpik terutama selepas merangkul gangsa di London 2012.

Katanya, hal ini kerana sebelum itu lagi dia sentiasa mengambil berat dan serius dalam semua pertandingan yang disertai.

“Saya juga lebih yakin dengan teknik terjunan saya sekarang berbanding pada 2012. Terdapat kemajuan dalam pelbagai peringkat yang menyebabkan saya lebih yakin dalam Olimpik kali ini.

“Saya mengekalkan tahap kesukaran terjunan tetapi teknik lain seperti terjahan ke dalam air telah meningkat berbanding dahulu,” katanya.

Seorang lagi atlet terjun, Cheong Jun Hoong yang bertanding dalam acara 3 meter papan anjal, 3 meter papan anjal seirama dan bergandingan dengan Pandelela dalam 10 meter platform seirama berkata, dia berharap untuk mengekalkan konsistensi dalam semua acara yang disertainya kali ini.

Katanya, di London 2012, dia gementar kerana itu adalah penampilan pertamanya dalam Olimpik dengan teknik dan pengalaman yang masih kurang berbanding sekarang.

“Saya layak dalam tiga acara ini sewaktu Kejohanan Piala Dunia di Rio pada Februari lalu dan saya fikir jurulatih benar-benar meletakkan harapan yang tinggi.

“Banyak pihak memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada saya dan saya berharap dapat melakukan yang terbaik walaupun bersaing dalam tiga acara,” katanya. – UTUSAN