“Kami sangat teruja dengan sambutan daripada komuniti Ironman seluruh dunia. Sambutan yang hebat ini membuktikan perlumbaan di Langkawi adalah destinasi yang mengagumkan selain kaya dengan sejarah.

“Ironman Malaysia akan menawarkan 50 slot untuk Kejuaraan Ironman Dunia 2018 di Kailua-Kona, Hawaii. Langkawi menjadi lokasi terbaik buat mereka yang ingin memburu slot ke sana,” kata Pengarah Urusan Ironman Asia, Geoff Meyer dalam satu kenyataan.

Lebih 70 peratus peserta yang bertanding dalam Ironman Malaysia kali ini datang dari lebih 50 buah negara berbeza. Penyertaan terbanyak adalah dari Jepun, Singapura, Australia dan Filipina.

Perlumbaan merangkumi disiplin renang sejauh 3.8 kilometer, berbasikal 180km dan larian 42.2km. Ia akan membawa peserta menyusuri bahagian barat Langkawi yang menawarkan keindahan dan keunikan tersendiri pulau ini.

Acara renang akan diadakan di Pantai Kok yang cukup indah sementara laluan berbasikal menawarkan pemandangan menarik hamparan padi dan gunung ganang. Perlumbaan kemudian akan diakhiri dengan acara larian yang berakhir di pantai terkenal, Pantai Chenang.

Beberapa acara sampingan akan turut diadakan seperti Ironmann® 70.3® Langkawi dan 2017 Ironkids® Langkawi. Slot perlumbaan Ironman® 70.3 yang Langkawi menawarkan 30 tempat ke Kejuaraan Ironman® 70.3 Dunia di Teluk Nelson Mandela di Afrika Selatan juga sudah habis. - UTUSAN ONLINE