Malaysia juga dilihat sebagai negara terbaik Asia sejak 2002 iaitu pada Sukan Asia di Busan, Korea Selatan dengan ratu skuasy negara, Datuk Nicol David menjadi penyumbang tetap pingat emas sehingga kini.

Cuma penyertaannya di Busan, bekas pemain No. 1 dunia itu kurang bernasib baik apabila tewas kepada pencabar dari Hong Kong, Rebecca Chiu dalam perlawanan akhir, namun, dalam pembabitannya pada 1998, 2006, 2010, 2014, Nicol merupakan ‘ratu emas’ Malaysia.

Biarpun usianya sudah menjangkau 35 tahun, anak kelahiran Pulau Pinang itu yang kini meng­huni ranking No. 9 dunia masih menjadi pilihan utama dalam temasya di Jakarta, Indonesia pada 18 Ogos-2 September ini.

Kehadiran Nicol pada Sukan Asia kali ini akan disokong kelibat dua pemain muda, S. Sivasangari dan Aifa Azman serta bekas pemain No. 5 dunia, Low Wee Wern yang merupakan pemenang pingat perak di Incheon, Korea Selatan, empat tahun lalu.

Wee Wern yang baru kembali ke gelanggang selepas 20 bulan berehat akibat pembedahan lutut, pada awalnya hanya dilihat sebagai pelengkap, namun, prestasi baik yang dipamerkan sejak kebelakangan ini memberi petanda positif buat skuad wa­nita.

Dia yang kini memperbaiki ranking daripada No. 254 ke No. 70 dunia setelah merangkul tiga gelaran iaitu Terbuka Malaysia, Terbuka Tasmania dan Terbuka Australia dalam tempoh tiga minggu berturut-turut, dilihat mampu meringankan beban Nicol.

“Saya percaya kami memiliki sebuah pasukan yang bagus. Pesaing kami sudah pasti hadir da­ripada Hong Kong dan India.

“Saya akan cuba memberi yang terbaik sebagai pilihan ketiga negara dan harap kita dapat menghadirkan saingan terhebat,” kata Wee Wern yang turut dinobat selaku Pemain Terbaik Persatuan Skuasy Profesional (PSA) untuk bulan Julai kepada Utusan Malaysia hari ini.

Sementara itu, dalam sai­ngan lelak, pemain berpengalaman, Nafiizwan Adnan mengetuai cabaran bersama Ivan Yuen, Ng Eain Yow dan Mohd. Shafiq Kamal.

Mereka bakal berdepan laluan sukar khususnya dari Hong Kong, India dan Kuwait.

Walaupun laluan untuk me­rangkul emas perseorangan dan berpasukan cukup berliku, peningkatan prestasi yang dipamer pemain No. 60 dunia, Ivan dan Nafiizwan sejak kebelakangan ini wajar diberi perhatian.

Ivan masih segar dengan kejayaan menjuarai Terbuka Selatan New Zealand dan Kejohanan Klasik Antarabangsa New Zealand, Jun lalu.