Pada aksi yang berlangsung di Dewan Ranau, Bandar Sukan Jakabaring, anak buah Mohd Fikri Mohd Nor ternyata gagal menangkis asakan kuadran Vietnam apabila kecundang 11-21 pada set pertama.

Bersambung set kedua, pemain negara yang dibarisi Emilia Eva Natasha Saudia, Nurul Izzatul Hikmah Md Zulkifli, Rahilah Harun dan Nor Farhana Ismail cuba bangkit namun masih tidak dapat menyaingi kehebatan lawan yang akhirnya keputusan memihak Vietnam 21-15.

Kekalahan itu juga menutup ruang skuad negara untuk sekurang-kurangnya meraih pingat gangsa serta masih kempunan untuk meraih pingat di Sukan Asia setelah skuad negara turut pulang hampa tanpa sebarang kutipan pingat pada penampilan sulung skuad wanita pada edisi ke-17 di Incheon, Korea Selatan pada 2014. - BERNAMA