MARKIMAN KOBIRAN

Sambil memuji kejayaan dan semangat pantang menyerah regu yang tampak hampir ditumpaskan Indonesia, Datuk Markiman Kobiran tetap terkilan dengan dasar kekangan monopoli pingat yang merendahkan martabat persaingan sebenar sepak takraw.

“Saya tidak memperkecilkan pasukan negara, cuma terkilan kerana mereka seolah-olah terperangkap dalam dasar manipulasi pingat yang mengehadkan negara peserta (kecuali tuan rumah) daripada bermain dalam kesemua acara yang dipertandingkan.

“Alangkah rendahnya martabat persaingan dan semangat kesukanan sebegini. Ukuran sebenar pencapaian sepak takraw kita dalam Sukan Asia Ke-18 ini ialah menerusi acara regu berpasukan.

“Buktinya, kita masih ‘No. 2 dalam kelas A’ kerana kalah dengan Thailand (2-0 dalam perlawanan akhir dan 3-0 dalam saingan Kumpulan A),” kata Presiden Persatuan Sepak Takraw Selangor itu kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Regu negara - Zulkifli Razak (Syahir Rosdi), Azlan Alias dan Farhan Adam menewaskan Indonesia 18-21, 22-20, 21-11 di Dewan Ranau, Kota Sukan Jakabaring, Palembang untuk emas antara regu Sukan Asia yang kali terakhir dimenangi Malaysia di Hiroshima 1994.

Dasar kekangan monopoli itu diperkenalkan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) sejak Sukan Asia Guangzhou 2010 selepas mendapati Thailand membolot kelapan-lapan emas acara regu berpasukan, antara regu dan beregu serta gelung lelaki dan wanita Sukan SEA Korat 2007.

Dasar ini menurut Istaf, bertujuan menggalakkan negara lain yang kurang handal, terus menghantar pasukan dalam temasya akan datang sekali gus majlis Olimpik atau kerajaan masing-masing mengeluarkan bajet membiayai aksi mereka.

Namun Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, semalam berkata: “Yang keldai ini semua, saya serahkan dengan kebodohan mereka kerana inilah manusia yang tidak tahu keadaan semasa.

“Bercakap tentang tahun 80-an, 90-an, pesaing kita hanyalah Thailand.”

Kali terakhir Malaysia menang emas berpasukan dan antara regu ialah dalam Sukan Asia ialah pada 1994 di Hiroshima, mengulangi pencapaian di Beijing pada 1990 dengan menumpaskan musuh tradisi itu.