Indonesia membuktikan mereka merupakan gergasi Asia Tenggara dalam acara renang selepas merangkul 39 emas, 13 perak dan 12 gangsa daripada 84 emas yang ditawarkan berbanding Malaysia yang mengumpul sembilan emas, 17 perak dan 10 gangsa.

Meskipun gagal mencapai sasaran yang ditetapkan namun ketua jurulatih Li Xin Xin tetap berpuas hati dengan percapaian anak buahnya walaupun beberapa perenang yang disasarkan memenangi emas gagal mencapai misi.

“Walaupun kita gagal mencapai 10 emas yang disasarkan namun secara keseluruhan saya berpuas hati dengan persembahan semua perenang kita, anda (wartawan) dapat lihat beberapa rekod temasya berjaya dipecahkan, ini percapaian yang bagus.

“Memang Indonesia terlalu kuat untuk dicabar setelah mereka berjaya meraih 39 emas, jadi kita perlu berlatih dengan lebih keras dan mencari lebih ramai bakat baharu untuk diserapkan dalam skuad negara,” katanya yang turut memberitahu skuad negara hanya menyertai 64 acara sahaja daripada 84 acara yang ditawarkan.

Untuk hari ini, tiga emas berjaya dituai skuad renang negara, dua daripadanya menerusi Anderson Jamba dan satu oleh Fraidden Dawan.

Emas pertama negara hadir menerusi Anderson dalam acara 200 meter rampaian lelaki SM10 (kekurangan anggota badan) dengan masa dua minit, 30.67 saat mengatasi perenang dari Thailand, Napat Wongnonthaphum di kedudukan kedua (4:04.98s) namun hanya emas sahaja ditawarkan dalam acara itu kerana hanya disertai dua peserta.

Fraidden pula cemerlang menerusi acara kegemarannya 200m rampaian lelaki SM10 (kekurangan anggota badan) dengan catatan masa 2:30.67s, mengetepikan pencabar terdekatnya Aung Phone dari Myanmar (2:40.41s) untuk perak manakala gangsa milik peserta dari Kemboja, Yav Vannak (2:56.64s).

Perenang berusia 30 tahun itu turut memperbaharui rekod temasya miliknya 2:32.46s yang dilakukan pada 2011.

Kem negara terus ceria dengan emas ketiga menerusi Anderson dalam acara 50m kuak lentang S4 (kekurangan anggota kaki) dengan catatan 52.06s, mengetepikan Charkorn Kaewsri (55.90s) dari Thailand untuk perak dan Vietnam meraih gangsa menerusi Ha Van Hiep (56.99s).