Malaysia berjaya menempatkan diri dalam tiga aksi final namun hanya dua atlet iaitu Ain Kamaruddin dan Mohd. Ali Yaakub berjaya merangkul pingat emas manakala Tengku Sharizal Tengku Abdul Rahman membawa pulang pingat perak.

Bagaimanapun, kejayaan pingat emas itu paling memberi kesan mendalam terhadap Ain terutama selepas kehilangan ayahnya beberapa hari sebelum acara Muay membuka tirai pertandingan.

Ain memastikan pingat emas pertama Malaysia dengan menundukkan Thachtana Luangphon dengan keputusan 29-28 di dalam kategori 57kg.

Katanya, pencapaian itu membuatkannya cukup terharu kerana dia agak sukar memberikan fokus dalam perlawanan awal namun segala-galanya menjadi lebih baik menjelang aksi final.

“Saya berbangga kerana berjaya membantu mencapai sasaran dua pingat emas yang ditetapkan dalam edisi kali ini.

“Memang saya berdepan dengan dugaan terbesar apabila kehilangan ayah tetapi saya tetap berusaha memberikan yang terbaik buat Malaysia.

“Saya sukar beri tumpuan di peringkat awal tetapi saya cuba untuk memberi tumpuan seratus peratus dan memperbetulkan teknik serangan ke atas lawan menjelang aksi final,” kata atlet berusia 25 tahun itu.

Sementara itu, pemenang pingat emas kedua negara, Mohd. Ali berjaya mengetepikan cabaran seorang lagi wakil Thailand, Surachai Nakthaem dengan keputusan 30-27 untuk kategori 54 kg.

“Fokus saya semasa di dalam gelanggang ialah mendengar arahan jurulatih (Bernard Radin) kerana lawan saya ialah atlet yang pernah beraksi di pentas kejohanan dunia.

“Jelas sekali strategi kami berkesan apabila saya berjaya mendominasi ketiga-tiga pusingan dengan baik,” kata Mohd. Ali.

Sementara itu, Tengku Sharizal Tengku Abd. Rahman meraih pingat perak selepas tewas kepada Mana Samchaiyaphum dari Thailand dengan keputusan 27-30

Mata diperolehi Ain Kamaruddin menundukkan Thachtana Luangphon dalam final acara Muay Sukan SEA

Pingat emas yang berjaya dicapai skuad muay negara