Pada aksi yang melibatkan atlet negara hari ini dalam acara 10m Air Pistol Wanita, Bibiana Ng Pei Chin dan Joseline Cheah Lee Yean masing-masing sekadar menduduki tempat ke-23 dan 24 sekaligus menyaksikan mereka gagal menempatkan diri ke peringkat akhir.

Hanya lapan teratas layak ke final.

Bibiana Ng mengumpul 560 mata keseluruhan manakala Joseline pula dengan 559 mata.

Mengulas keputusan hari ini, Bibiana jelas berasa kurang berpuas hati dengan prestasinya yang agak merudum pada penglibatannya kali ini.

"Keseluruhan aksi saya kali ini sederhana sahaja. Acara hari ini bukanlah acara kegemaran saya dan sebenarnya saya masih mencuba teknik baru dibawah jurulatih dari Korea Selatan iaitu Lee Do Hee," katanya.

Lee baru menyertai skuad negara pada April lalu sebagai jurulatih acara pistol.

Sebelum itu, Alia Sazana Azahari gagal melayakkan diri ke pusingan akhir bagi acara 25m pistol wanita dan Eng Wei Jin yang membuat penampilan sulung dalam double trap lelaki juga terkandas pada pusingan kelayakkan.

Untuk rekod, skuad menembak negara meraih dua perak dan dan satu gangsa pada temasya Sukan Asia Incheon pada 2014. - BERNAMA