Gandingan Khairul Anuar Mohamad dan Nur Aliya Ghapar tewas 2-6 kepada pasangan Vietnam, Chu Duc Anh dan Loc Thi Dao dalam acara recurve.

Satu lagi pasangan negara yang diwakili oleh Mohd. Juwaidi Mazuki dan Fatin Nurfatehah Mat Salleh kalah tipis 152-153 kepada wakil Singapura, Alan Lee Chung Han dan Contessa Loh Tze Chieh dalam acara compound.

Mohd. Juwaidi mengakui beliau agak kecewa dengan kekalahan tersebut, namun berpuas hati dengan pencapaiannya pada edisi kali ini.

"Rezeki belum ada untuk saya, cuma saya harapkan yang terbaik untuk acara compound berpasukan lelaki menentang Laos pada Ahad ini.

"Laluan ke suku akhir agak susah kerana kita ada gergasi Asia seperti Korea Selatan, Taiwan, India dan Iran yang sangat kuat, namun dalam sukan memanah apa sahaja boleh berlaku termasuk melakukan kejutan kerana prestasi rakan sepasukan agak bagus," katanya.

Untuk rekod, acara recurve dan compound tidak dipertandingkan pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan. - BERNAMA