Gimnas negara, Nur Eli Ellina Azmi mengakui misi ke sana adalah untuk memperbaiki prestasi mereka susulan persembahan sederhana dalam Kejohanan Asia di Bangkok, bulan lalu.

Malah, selepas ini tiada lagi pertandingan akan disertai sebelum Sukan SEA membuka tirai dan kunjungan ke Australia pastinya amat dinantikan.

“Di sini (Australia) tempat dan suasana baru untuk memperbaiki serta meningkatkan lagi kemahiran dengan menggunakan apparatus baru. Ia akan digunakan untuk Sukan SEA nanti.

“Kami juga dapat menumpukan latihan sepenuhnya tanpa sebarang gangguan. Ini objektif utama dan latihan di sini yang memasuki hari kedua berjalan dengan baik,” katanya.

Sukan SEA Singapura 2015 menyaksikan skuad negara menamatkan kemarau pingat emas 14 tahun negara untuk kembali merampas emas acara berpasukan.

Eli juga berpendapat bahawa skuad kali ini lebih serasi berbanding dua tahun lalu dan kekal dengan semangat tinggi bahawa kejayaan mampu dilakar Malaysia.

“Saya perlu berlatih dengan lebih keras dalam persiapan untuk Sukan SEA. Pesaing dari Filipina dan Thailand juga sangat kuat selain daripada Singapura. Jadi kami perlu membuat persiapan yang rapi dan lebih baik,” jelasnya.