Biarpun terpaksa berdepan dengan pasukan gergasi Filipina dan Thailand, namun skuad negara tidak gentar apabila melalui sesi persediaan yang lebih mantap serta sokongan padu peminat tempatan di laman sendiri.

Jurulatihnya, Goh Cheng Huat berkata, pemain telah menimba pengalaman berharga dan keyakinan yang lebih tinggi selepas mengharungi sesi latihan keras termasuk mengadakan perlawanan Jelajah New Zealand, bulan lepas.

“Walaupun sasaran pingat gangsa tetapi kami akan pasti bertarung untuk pingat emas. Kami tidak akan mudah menyerah kalah tetapi akan bermain bermati-matian sehingga detik akhir,” katanya.

Skuad lelaki itu mencipta sejarah apabila merangkul emas dengan mengalahkan Filipina pada Sukan SEA ke-15 ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah pada 1989.

Sementara itu, pada majlis mengumumkan senarai pemain hari ini menjadi lebih bermakna apabila pemain lelaki pada edisi 1989 (Kelas 1989) hadir di stadium untuk menyerahkan Jalur Gemilang kepada pasukan negara dengan harapan untuk mengulangi pencapaian emas pada 1989.

“Adalah menjadi penghormatan bagi kami untuk Kelas 1989 menyerahkan Jalur Gemilang. Mereka telah melakukan sebelum ini (merangkul emas) dan harap kami akan melakukannya sekali lagi pada temasya ini,” kata pemain negara kelahiran Amerika berusia 19 tahun, Perry Lim.

Pemain dengan ketinggian 1.95m, yang menuntut di University of Illinois, itu berkata, beliau percaya pasukan negara sudah melakukan persediaan yang cukup rapi untuk membawa kenangan manis kepada negara pada temasya dwitahunan kali ini.

Bagi ketua pasukan, Nur Izzati Yaakob, 28, memang wujud tekanan kepada pasukan selaku tuan rumah namun akan menampilkan persembahan terbaik demi menggembirakan peminat sukan tempatan – BERNAMA