Pemilihan skuad basikal itu dibuat berdasarkan kejayaannya meraih 22 daripada 26 pingat emas yang ditawarkan dalam temasya kali ini, termasuk menyapu bersih semua 12 emas dalam basikal trek.

Ketua pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, skuad itu dipilih atas faktor kecemerlangannya yang pantas membuahkan hasil membanggakan walaupun sukan itu pertama kali dipertandingkan dalam Sukan Para ASEAN.

“Walaupun sukan ini pertama kali dipertandingkan, pelumba para negara telah menunjukkan pencapaian luar biasa apabila memungut emas terbanyak berbanding negara lain. Selain itu mereka juga jauh melepasi sasaran awal yang kita tetapkan iaitu 15 emas,” katanya dalam sidang akhbar analisis rangkuman prestasi kontinjen para negara di sini hari ini.

Turut dinobat sebagai cemerlang katanya adalah goalball memandangkan ini kali pertama sukan itu memenangi emas sejak 2001, apatah lagi dengan menewaskan pasukan pilihan Thailand sebanyak dua kali iaitu di peringkat liga dan akhir.

Sementara itu, empat sukan dianggap mencatat pencapaian tidak memuaskan iaitu catur, bola sepak lima sebelah, powerlifting dan bola tampar duduk berdasarkan faktor gagal mencapai sasaran yang ditetapkan, gagal mempertahankan pingat emas dan gagal memenangi sebarang perlawanan.

Secara keseluruhannya, Shapawi menafikan prestasi kontinjen para negara kali ini merosot teruk berbanding 2015, sebaliknya berkata semua sukan meningkat dalam jumlah pungutan pingat.

“Daripada 16 sukan, sembilan daripadanya meningkat dalam pungutan pingat emas, perak dan gangsa, satu sukan konsisten dan tiga sukan merosot manakala tiga sukan lagi tidak dipertandingkan pada 2015.

“Kita tidak boleh anggap pencapaian kali ini merudum kerana jumlah pungutan pingat emas sukan yang dipertandingkan pada 2015 bertambah daripada 51 kepada 66 manakala pingat perak juga bertambah daripada 57 kepada 58 dan gangsa daripada 37 kepada 74,” ujarnya.

Paling melegakan MSN, tambahnya, ialah kemunculan ramai atlet muda dan baharu yang berbakat yang sudah mampu menyumbang pingat walaupun masih kurang pengalaman di peringkat antarabangsa.

“Daripada 146 atlet muda bawah 25 tahun, 80 daripadanya berjaya menyumbang pingat dengan pecahan 35 atlet muda ini berjaya meraih 38 emas, 21 atlet meraih 25 perak dan 24 atlet meraih 25 gangsa.

“Atlet baharu sebanyak 111 orang yang membuat penampilan pertama dalam Sukan Para ASEAN ini berjaya menyumbang 30 emas, enam perak dan 16 gangsa. Signifikannya pencapaian atlet muda dan baharu ini menunjukkan kita masih mempunyai ramai lagi atlet para berbakat untuk dibawa ke peringkat yang lebih tinggi seperti Asia, Komanwel dan Paralimpik,” tegasnya.