"Kami percaya oleh kerana perkara itu sudah diselesaikan, kami perlu alih fokus kami untuk melakukan yang terbaik dalam acara itu. Kami berharap atlet-atlet akan mempamerkan permainan terbaik mereka di gelanggang," kata Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dalam satu kenyataan.

Mohamad Norza turut mengucapkan terima kasih kepada Majlis Olimpik Asia (OCA), khususnya Pengarah Jabatan Sukan Asia Haider Farman atas sokongan dengan mempamerkan semangat keadilan berhubung isu itu.

"Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pengelola Sukan Asia Indonesia 2018 (INASGOC), presidennya Erick Thohir dan pasukan beliau atas bantuan dan kerjasama untuk menyelesaikan isu itu dengan baik dan juga kepada Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) atas keupayaan mereka memastikan penyelesaian yang adil dan saksama," katanya.

Penyertaan Malaysia dalam acara antara regu lelaki menjadi tanda tanya selepas Malaysia tidak disenaraikan dalam acara sasaran pingat emas itu, dan hanya disenaraikan dalam acara regu dan beregu berpasukan.

Pada Jumaat, Presiden ASTAF Datuk Abdul Halim Kader mengesahkan pendirian badan itu untuk kembali menyenaraikan Malaysia dalam acara antara regu demi kesejahteraan sejagat dan hubungan muhibah negara-negara serantau. - BERNAMA