Setiausaha Kehormatnya, Mae Chen berkata, selain terjun, senarai akhir atlet renang juga dijangka dimumtamadkan pada pertenghan bulan ini setelah menilai pencapaian mereka dalam Jelajah Mare Nostrum pada 18 Jun depan.

“Sebanyak 17 atlet skuad terjun akan dinamakan bagi mengharungi Sukan SEA selepas Kejohanan Terjun Asia berakhir, mungkin dalam pertengahan Jun ini.

“Renang pula, saya belum boleh dedahkan berapa ramai atlet yang kami perlukan pada kali ini.

“Apa yang boleh saya katakan, setakat ini 16 perenang kebangsaan (berada dalam) senarai awal, selebihnya akan kami pilih dalam kalangan terbaik daripada kelab dan seluruh negeri,” katanya selepas mesyuarat jawatankuasa pemilihan akhir Sukan SEA 2017 di Wisma Olimpik Malaysia (MOM), di sini baru-baru ini.

Dalam mesyuarat tersebut, ASUM telah memuktamadkan empat atlet terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita bagi acara renang terbuka, manakala renang seirama melibatkan 12 wanita bagi mengharungi Sukan SEA Kuala Lumpur pada 19 hingga 30 Ogos ini.

“Kami telah menyerahkan senarai nama 12 atlet wanita untuk renang seirama kepada MOM. Bagi acara renang terbuka, dua atlet lelaki adalah Kevin Yeap dan Wong Jun Bin, manakala Heidi Gan dan Angelina Chan bagi kategori wanita,” katanya.

Sementara itu, jurulatih renang negara Paul Birmingham berkata tiga atlet yang pernah memenangi emas dalam Sukan SEA 2015 di Singapura, Welson Sim dalam acara 400 meter (m) bebas; Wong Fu Kang (100m kuak dada); dan Phee Jinq En (100m kuak dada) tidak akan dikecualikan untuk bertanding dalam temasya ke-29 ini.

“Hanya dua peratus daripada senarai skuad renang belum diputuskan lagi. Setelah itu, kami akan tentukan acara yang akan disertai mereka,” katanya.