Kali terakhir boling padang menyumbang pingat emas dalam Sukan Komanwel ialah pada 2006 di Melbourne, Australia.

Siti Zalina, 37, meraih pingat emas Sukan Komanwel dalam acara berpasangan wanita bersama gandingannya Emma Firyana Saroji selepas mengungguli saingan akhir di Gold Coast pada Jumaat lalu.

Pasangan negara itu meraih kemenangan dengan keputusan 15-14 menewaskan gandingan dari Afrika Selatan, Nicolene Neal dan Colleen Piketh.

Kata Siti Zalina, dia belum memikirkan untuk bersara hanya disebabkan faktor usia malah jika diberikan peluang atlet negara tersebut mahu terus beraksi dalam Sukan Komanwel 2022 di Birmingham.

“Saya belum memikirkan bahawa Gold Coast akan menjadi Sukan Komanwel terakhir saya, selagi khidmat saya diperlukan maka saya pasti terus beraksi.

“Dalam masa sama, ini adalah pingat emas yang amat bermakna buat saya dan bagi sukan boling padang negara kerana kami satu-satunya wakil tunggal berjaya mara ke saingan akhir.

“Pingat emas ini juga dapat mengubat kekecewaan boling padang selepas tidak berupaya membawa pulang pingat emas dalam dua edisi Sukan Komanwel sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita sebaik tiba dari Gold Coast di Balai Ketibaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), hari ini.

Ini juga adalah pingat emas ketiga Siti Zalina dalam Sukan Komanwel dengan sebelum ini meraihnya dalam acara individu pada 2002 dan 2006.

Sementara itu, ditanya adakah Program Podium banyak membantunya menghadapi Sukan Komanwel kali ini, Siti Zalina berkata: “Bagi saya yang telah setahun berada dalam program tersebut ia masih lagi relevan buat atlet bagi mendapatkan pendedahan di peringkat antarabangsa.

“Sebagai seorang atlet seperti saya, pendedahan di luar negara amat diperlukan kerana dapat membantu meningkatkan keupayaan diri sebelum menghadapi pertandingan besar.”

Sasaran Program Podium untuk berada dalam kelompok 10 terbaik Sukan Komanwel 2018 tidak tercapai selepas Malaysia menamatkan kempen di tangga ke-12 biarpun berupaya mengatasi enam pingat emas 2014 di Glasgow.