Pingat perak itu diraih menerusi acara All-Event wanita selepas mengumpul 5,048 jatuhan pin di dalam empat acara iaitu perseorangan, beregu, trio serta berpasukan dan hanya kekurangan 78 jatuhan pin di belakang juara dunia yang merupakan wakil tuan rumah, Danielle McEwan (5,126 jatuhan pin).

Pingat gangsa di dalam acara itu menjadi milik pemain Taiwan, Tsai Hsin-yi selepas meraih 5,017 jatuhan pin.

Malaysia juga menambah koleksi pingat dalam saingan wanita selepas gandingan Siti Safiyah bersama Shalin Zulkifli, Sin Li Jane, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Natasha Roslan serta Esther Cheah melangkah ke separuh akhir selaku pasukan tangga kedua terbaik di belakang Singapura.

“Syukur Alhamdulillah. Yay! Pasukan wanita kita berjaya melangkah ke separuh akhir acara berpasukan esok!

“Satu lagi berita gembira saya juga berjaya memenangi pingat perak dalam All-Events. Sangat gembira kerana semua orang akan pulang ke tanah air bersama pingat.

“Doakan kejayaan kami esok! Acara separuh akhir dan akhir berpasukan akan menggunakan format Baker,” kata Siti Safiyah dalam Facebook.

Malaysia menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik selepas mengumpul 6,227 jatuhan pin, 98 pin di belakang Singapura, manakala Colombia (6,167) di tangga ketiga dan Korea Selatan (6,140) keempat.

Pasukan negara akan berdepan Colombia dalam separuh akhir, manakala Singapura menentang Korea Selatan. Pemenang akan bersaing untuk merebut emas, manakala pasukan yang kalah sudah mengesahkan gangsa.

Malaysia pernah meraih emas acara berpasukan wanita dua kali iaitu di Kuala Lumpur pada 2003 dan Monterrey, Mexico pada 2007.

Sementara itu, skuad lelaki yang dianggotai Rafiq Ismail, Ahmad Muaz Fishol, Syafiq Ridhwan Abdul Malek, Timmy Tan, Alex Liew dan Adrian Ang gagal menghadiahkan pingat selepas sekadar mengumpul 6,089 pin untuk menduduki tangga keenam.

Kem boling negara sebelum ini meraih perak menerusi beregu wanita, Shalin dan Li Jane.