Dibesarkan di bandar Cidade de Deus, antara kejiranan paling miskin dan bahaya di Brazil yang turut dikenali sebagai City of God, atlet berusia 24 tahun itu mengejutkan pilihan utama dari Mongolia, Sumiya Dorjsuren dalam pertarungan akhir.

Beberapa tahun lalu ketika jenayah dan pergaduhan sering berlaku di kawasan kejiranannya, Silva tekad untuk mempelajari judo di Institut Reacao, yang diasaskan pemenang pingat gangsa Olimpik Athens 2004, Flavio Canto dengan tujuan untuk mempertahankan diri.

Bagaimanapun, misi mempertahankan diri kini bertukar menjadi kisah dongeng terhebat buat Silva, yang dijulang sebagai ‘superhero’ rakyat Brazil kerana menjadikan kehidupannya yang menyedihkan sebagai inspirasi untuk memahat kejayaan di pentas dunia.

“Penyokong sentiasa memberi galakan kepada saya, terutama kanak-kanak daripada masyarakat saya sendiri di City of God.

“Jika saya boleh menjadi contoh kepada kanak-kanak di City of God, jika mereka yakin boleh mengecapi impian mereka menerusi bidang sukan, jadi sila lakukan.

“Saya berharap saya mampu menjadi contoh kepada mereka dan saya rasa saya boleh,” katanya, yang turut mengejutkan pemenang pingat perak Sukan Olimpik London 2012, Corina Caprioriu dari Romania dalam separuh akhir.

Brazil meletakkan harapan tinggi kepada skuad judo untuk membawa pulang pingat di Olimpik kali ini selepas berjaya merangkul empat pingat menerusi sukan tersebut pada edisi terakhir di London.

“Judo adalah hidup saya. Saya amat teruja bertanding di tempat sendiri kerana sorakan yang diberikan penyokong banyak membantu menaikkan semangat saya.

“Saya harap, emas yang diraih hari ini akan menjadi pembuka jalan kepada lebih banyak emas untuk diraih kontinjen Brazil dalam Olimpik kali ini,” ujarnya lagi.

Silva berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2012, tetapi tersingkir pada pusingan awal kerana melanggar peraturan pertarungan.

Juara bertahan dari Jepun, Kaori Matsumoto berkongsi pingat gangsa bersama juara Eropah lima kali, Telma Monteiro dari Portugal. – REUTERS