MOHD. Al-JUFFERI JAMARI meraih pingat emas kedua negara dalam Kelas Putera Kejohanan Pencak Silat Terbuka Belgium 2017, kelmarin.

Pesilat di bawah Program Kita Juara, Muhammad Faizul Mohd. Nasir menyumbang pingat emas pertama negara selepas mengalahkan pesilat tuan rumah, Derent Xavier 5-0 dalam kelas B Putera (50-55kg), demikian menurut entri terbaharu dalam laman Facebook Majlis Sukan Negara (MSN).

Program Kita Juara merupakan program khas yang dirangka oleh MSN untuk kontinjen negara memenuhi sasaran muncul juara keseluruhan Sukan SEA 2017 yang dijadual berlangsung dari 19 hingga Ogos ini.

Emas kedua dan ketiga negara dihasilkan oleh dua atlet di bawah Program Podium iaitu Mohd. Al-Jufferi Jamari dan Razak Ghazali, masing-masing dalam kelas Putera E (65-70kg) dan Putera D (60-65kg).

Mohd. Al-Jufferi yang merupakan juara dunia 2016, mudah menewaskan pesilat tuan rumah Hachler Ammier 5-0 manakala Razak turut mencatat kemenangan dengan kiraan mata yang sama ke atas pesilat Singapura Nor Hakim Samsudin.

Dua pesilat negara di bawah Program Kita Juara, Siti Shazwana Ajak dan Muhammad Robial Sobri menambah kutipan pingat emas untuk Malaysia selepas mencatat kemenangan ke atas lawan masing-masing.

Siti Shazwana menang 4-1 ke atas pesilat Singapura Nurul Suhaila dalam kelas D Puteri (60-65kg) manakala Robial menundukkan seorang lagi pesilat Singapura Sheikh Ferdous 5-0 dalam kelas H Putera (80-85kg).

Indonesia muncul juara keseluruhan dengan kutipan tujuh pingat emas dan empat gangsa, disusuli Malaysia (5-4-4) manakala Singapura berada di tempat ketiga dengan kutipan satu pingat emas, empat perak dan dua gangsa. – BERNAMA