Empat pesilat negara yang berjaya menempah slot ke saingan akhir ialah Muhammad Faizul M. Nasir dalam acara Kelas B, Mohd. Al Jufferi Jamari (Kelas E), Mohd. Fauzi Khalid (Kelas F) dan Mohd. Khaizul Yaacob (Kelas J).

Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, beliau amat berpuas hati dengan persembahan pesilat negara yang mempamer aksi bertenaga untuk ke saingan akhir.

“Mereka semua beraksi dengan penuh bersemangat untuk mara ke pentas final yang menyaksikan empat ke final dan dua lagi meraih pingat gangsa.

“Kita telah menjangkakan hal ini dan saya harap atlet negara terus bersemangat untuk membawa pulang emas negara.

“Saya yakin pentas final suasana sangat berbeza dan saya harapkan atlet negara dapat menangangi segala cabaran dalam masa sama sasaran tiga emas tidak berubah dan saya harap mereka terus melakukan asakan untuk merealisasikan emas buat negara,” kata Megat Zulkarnain.

Acara akhir yang dijadual berlansung esok ialah Kelas B melibatkan aksi pesilat Faizul M. Nasir dan Kelas E, Mohd. Al Jufferi Jamari.

Sementara Mohd. Fauzi Khalid dan Mohd. Khaizul Yaacob akan beraksi dalam saingan akhir masing-masing pada Isnin ini.