Bukan calang-calang keputusan yang diraih mereka pada temasya dwi-tahunan di Kuala Lumpur itu.

Sebanyak sepuluh butir emas berjaya disumbangkan oleh skuad kebangsaan, yang turut menjadi antara penyumbang terbesar dalam merealisasikan impian Malaysia untuk muncul juara keseluruhan dengan 145 emas (sebelum satu daripadanya ‘hilang’ susulan kes doping).

Pencapaian skuad kebangsaan di temasya tersebut seakan memberi ‘petanda awal’ bahawa silat bakal menjadi lubuk emas pada Sukan Asia 2018 Jakarta & Palembang, yang buat pertama kalinya mempertandingkan seni bela diri tradisonal itu.

Oleh sebab itu Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin mahu corak latihan keras seperti yang dilakukan dalam usaha memburu kejayaan di Sukan SEA perlu diteruskan.

Menurutnya, pesilat sudah di­maklumkan corak latihan ba­kal diharungi sepanjang persiapan pasukan negara yang ingin mencipta kejayaan pertama di pentas Sukan Asia yang dijangka lebih mencabar.

“Saya berharap corak latihan keras dilalui secara berterusan dapat menguatkan lagi semangat serta kecergasan pesilat yang bakal berhadapan dengan beberapa jaguh luar negara.

“Kejayaan membanggakan pada Sukan SEA Kuala Lumpur apabila skuad silat negara merangkul 10 pingat emas membuktikan program terbabit berhasil dengan jayanya,” kata Megat Zulkarnain.

Demikian ‘peristiwa’ skuad kebangsaan yang paling mencuri tumpuan dan menjadi bualan ramai sepanjang tahun ini, dengan nama-nama seperti Al Jufferi Jamari, Fauzi Khalid, Razak Ghazali dan srikandi Siti Rahmah Nasir meniti di bibir peminat sukan.

Terdahulu, sewaktu menjelang Sukan SEA skuad kebangsaan terpaksa melupakan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini kerana perlu ‘bertapa’ selama tiga minggu di kawasan pergunungan Da Lat, Vietnam.

‘Pengorbanan’ itu dibuat bertujuan memastikan fokus mereka pada sesi latihan tidak terganggu terutamanya mengingati sambutan hari raya bersama keluarga masing-masing, selain menghindari daripada makanan yang boleh memberi kesan melampau terhadap peningkatan berat badan,” katanya.