Tahun ini, Jawatankuasa Pemilihan Majlis Sukan Negara (MSN) yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr. Waitchalla R.R.V.Suppiah, menerima 65 pencalonan untuk 11 kategori daripada persatuan sukan kebangsaan, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

Selepas melalui proses penapisan yang teliti, lima atlet lelaki dan lima wanita disenarai pendek untuk menjulang gelaran tersebut.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk berangkat hadir dan seterusnya menyampaikan anugerah utama pada majlis berkenaan yang akan diadakan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

Debaran dirasai oleh lima calon lelaki dan lima calon wanita yang telah disenarai pendek, berdasarkan pencapaian cemerlang mereka di pentas antarabangsa sepanjang tahun lepas.

Calon-calon berkenaan juga adalah mereka yang mempamerkan pencapaian cemerlang di dua temasya besar, Sukan Komanwel Gold Coast dan Sukan Asia Jakarta-Palembang di samping pencapaian di kejohanan peringkat dunia sepanjang 2018.

Jaguh boling negara, Rafiq Ismail dan Amy Kwan Dict Weng dari sukan gimrama disebut-sebut sebagai calon yang layak diberikan pengiktirafan selaku Olahragawan dan Olahragawati Negara selepas masing-masing mencipta sejarah tersendiri.

Rafiq mengungguli senarai lima calon Olahragawan Negara, diikuti atlet berbasikal trek Azizulhasni Awang, Nafiizwan Adnan (skuasy), Syarul Azman Mahen (bina badan) dan Fauzi Kaman Shah (pelayaran).

Berdasarkan pencapaian tahun lepas, Rafiq, 21, mencipta sejarah tersendiri menamatkan kemarau 39 tahun apabila berjaya membawa pulang pingat emas dalam acara perseorangan di Kejohanan Boling Dunia Lelaki di Hong Kong (2018), menewaskan pemenang pingat emas 2014, Dan MacLelland dari Kanada dengan 217-204.

Kali terakhir Malaysia menang pingat emas dalam kategori lelaki dalam kejohanan itu ialah pada tahun 1979 di Manila, menerusi gandingan trio J.B Koo, Allan Hooi dan Edward Lim.

Rafiq turut cemerlang ketika penampilannya di Sukan Asia 2018 apabila meraih emas dalam acara Masters lelaki.

Baru-baru ini juga, Rafiq turut dianugerahkan sebagai Atlet Terbaik 2018 pada Majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan (SAM)-100Plus.

Bagi calon Olahragawati Negara pula, lima atlet telah disenaraikan iaitu S. Sivasangari (skuasy), Siti Zalina Ahmad (boling padang), Siti Sfiyah Amirah Abdul Rahman (tenpin boling), Tan Li Lian (bina badan) dan Amy Kwan (gimrama).

Namun, tiga daripadanya dilihat berpotensi iaitu Amy Kwan , Siti Safiyah Amirah dan Siti Zalina yang telah menampilkan kelas tersendiri dalam beberapa kejohanan peringkat antarabangsa sepanjang tahun lepas termasuk di Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

Siti Safiyah Amirah, 28, telah menyumbang pingat emas menerusi acara trio di Sukan Asia di samping menyumbang pingat perak dalam acara berpasukan manakala Siti Zalina, 39, menyumbang pingat emas di Sukan Komanwel dalam acara pairs serta meraih pingat emas di Kejohanan Boling Padang Asia di Henan, China.

Kedua-dua atlet itu dilihat bersaing sengit dengan gimnas Amy Kwan yang telah melakukan kejutan di temasya Sukan Komanwel apabila menghadiahkan emas dalam acara riben dan membantu acara berpasukan meraih pingat perak.

Atas kertas, Rafiq dan Amy Kwan dilihat memiliki peluang tetapi mereka terpaksa bersaing dengan beberapa calon lain yang turut melakar kecemerlangan di pentas antarabangsa dalam acara masing-msaing sepanjang tahun lepas.

Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan serta Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan, masing-masing akan menerima sebuah piala, piala iringan, sijil dan hadiah wang tunai RM20,000.

ASN yang diperkenalkan sejak 1966, adalah satu pengiktirafan tertinggi kerajaan bagi menghargai kecemerlangan sepanjang tahun yang dicapai atlet, jurulatih, pegawai dan persatuan sukan kebangsaan.

Selain anugerah Olahragawan dan Olahragawati, ASN turut menawarkan sembilan anugerah lain iaitu Olahragawan Para dan Olahragawati Para Negara, Pasukan Lelaki dan Wanita Negara, Jurulatih Lelaki dan Wanita Negara, Anugerah Tokoh Sukan, Kepimpinan Sukan dan Anugerah Khas.- BERNAMA