Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir. Dr. Hamim Samuri berkata, ini kerana bencana banjir sukar diramal dengan tepat akibat daripada taburan hujan yang sentiasa berubah tahun ini.

“Contohnya, tahun ini tidak berlaku fenomena El Nino dan La Nina. Malah, taburan hujan juga susah dijangka dan kalau kita lihat taburan hujan setiap bulan kelihatan agak seragam iaitu setiap bulan ada hujan lebat.

Secara teorinya, hujan lebat pada setiap hujung tahun bermaksud kalau jumlah hujan tahunan contohnya sebanyak 970 bilion meter padu setahun sebahagian besarnya sudah turun dan baki hujan adalah tidak banyak.

Justeru, persediaan awal sangat penting kerana sekurang-kurangnya kita dapat mengurangkan risiko nyawa yang terkorban, kemusnahan harta benda serta meminimumkan kos operasi menyelamat semasa bencana.

“Malah, pihak kementerian juga boleh memberi makluman awal dengan kepakaran yang kita miliki kepada jabatan yang berkaitan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) yang terlibat secara langsung semasa bencana berlaku,” katanya di sini hari ini. 
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Teknologi Geomatik dan Geospatial 2017 yang bertemakan pengurusan bencana dan geospatial. 
Yang turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan (Jupem), Datuk Mohd. Noor Isa serta Pengarah Ukur Bahagian Ehwal Persempadanan, Dr. Azhari Mohamed.

Dalam pada itu, Hamim berkata, kementeriannya berharap agar hasil perbincangan seminar berkenaan dapat membantu kerajaan menghadapi situasi bencana alam.

“Persidangan ini bertujuan mengembangkan pengetahuan, teknologi dan pengamalan dalam bidang geomatik dan geospatial bagi memenuhi permintaan komuniti berkepentingan yang semakin kompetitif. Malah, penyediaan data dan perkhidmatan yang berkualiti dilihat semakin menjadi perhatian khususnya semasa bencana alam yang kerap melanda negara akhir-akhir ini.

“Pihak kementerian melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jupem sedang menyediakan model pengurusan banjir terutama di kawasan yang sangat berisiko. Malah, Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (Prab) juga masih dalam kerangka penyediaan dan dijangka siap pada tahun hadapan,” jelasnya.

HABIS