Dalam kalangan keluarganya sendiri, anak bongsu daripada tujuh beradik itu seorang yang amat perahsia sehinggakan ketika Mingguan Malaysia cuba ‘mengorek’ kisah cinta Abdul Latif, kakaknya, Siti ­Aminah sukar untuk menjelaskan apakah hati adiknya sudah dimiliki.

Siti Aminah, 30, yang merupakan anak kelima hanya mampu berkata: “Mungkin belum masanya dia bercinta sebab masih muda. Biarlah fokus dulu kepada sukan”.

Nama Abdul Latif, 20, mula melonjak selepas merangkul pingat emas lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) bersama rekod dunia dalam Sukan Paralimpik di Rio, Brazil tahun lalu.

Namun cubaannya untuk meraih emas Sukan SEA baru-baru ini gagal ekoran mengalami keracunan makanan sebelum pertandingam.

Biarpun tidak sihat, namun semangat juang tinggi yang dimiliki atlet kelahiran Perlis itu menyebabkan dia enggan menarik diri sebelum akhirnya menamatkan cabaran di tangga ketujuh.

Begitupun Siti Aminah men­dedahkan, walaupun Abdul Latif terkenal dengan semangat tidak mudah me­ngalah, tetapi dia sebenarnya mempunyai kelemahan besar yang menyebabkan dia sering mengaku kalah.

“Dia tidak boleh tahan de­ngan laksa istimewa masakan ibu hinggakan kalau tidak dapat makan boleh terbawa dalam mimpi.

“Kalau sesekali balik ke kampung, satu mangkuk sahaja memang tidak cukup. Dia memang penggemar laksa air tangan ibu sejak kecil.

“Keenakan laksa masakan ibu sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Latif tidak akan makan laksa lain, kalau bukan ibu yang buat,” kata Siti Aminah.

Menurut Siti Aminah, adik bongsunya itu juga amat rapat dengan ibu mereka Salmah Yatim, 59.

Katanya, disebabkan hu­bu­­ngan dua beranak itu sangat rapat, Abdul Latif pada awalnya keberatan untuk meninggalkan Kampung Paya Kelubi, Bukit Keteri di Arau ketika mendapat tawaran menyertai kem olahraga paralimpik negara di Kuala Lumpur pada 2015.

“Adik dan ibu kalau boleh tidak mahu berpisah ketika mula-mula menerima tawaran, dua tahun lalu. Namun hari ini, Latif sudah pandai berdikari apabila berjauhan dengan keluar­ga dan bagi saya dia seorang yang amat cekal.

“Memiliki adik istimewa sepertinya membuatkan kami sekeluarga perlu pandai memujuk dan menjaga perasaannya terutama ketika dia mendapat tawaran ke Kuala Lumpur.

“Ketika itu kami beritahu dia masa depannya mampu menjadi lebih cerah andai menerima tawaran tersebut dan syukurlah hari ini dia sudah dikenali,” katanya lagi.

Selain meminati laksa, Abdul Latif juga gemar mengumpul kasut spike olahraga dan joging.

Perkara itu didedahkan ketua jurulatih olahraga pa­ralimpik negara, R. Jaganathan yang melihat Abdul Latif sering memakai kasut keluaran terkini, terutama jenama Nike setiap kali menyertai sesuatu pertandingan.

“Dia tidak lokek dalam memastikan barangan sukan yang digunakan adalah yang terbaik dan terkini, itu adalah minat yang bagus.

“Setiap kali ke luar negara dia akan mencari kasut terbaik namun saya tidak tahu setakat ini sudah berapa banyak koleksi kasutnya,” kata Jaganathan.

Dalam Sukan Para ASEAN 2017, Abdul Latif antara atlet tumpuan yang diyakini mampu menjadi penyumbang pingat emas dalam acara disertainya.

Ketika ini rekod dunia dalam acara lompat jauh T20 adalah 7.60 meter yang juga milik Abdul Latif yang dilakukan dalam temasya Rio.