Pada aksi pusingan kedua tersebut, bekas pemain No. 1 dunia berusia 30 tahun itu bangkit daripada kekalahan set pertama sebelum menang mudah 6-7, 6-4, 6-1 ke atas pemain Hungary, Timea Babos.

Sharapova yang mengejutkan pilihan kedua, Simona Halep di pusingan pertama sebelum ini bagaimanapun masih tidak berpuas hati dengan permainannya setakat ini kerana kerap melakukan kesilapan mudah.

“Ia bukan permainan terbaik saya lagi. Masih tidak lancar dan tidak sempurna tetapi saya menikmati perlawanan dengan baik dalam suasana yang me­nyeronokkan tanpa tekanan seperti dulu.

“Bagi saya dapat beraksi di Terbuka AS sahaja sudah cukup istimewa. Saya tidak sabar menanti perlawanan seterusnya,” kata Sharapova yang akan menentang pemain AS kelahiran Rusia yang masih muda, Sofia Kenin di pusingan ketiga nanti.

Sementara itu, ketika Sharapova semakin menunjukkan belangnya, beberapa lagi pemain pilihan satu demi satu tersingkir awal.

Ini termasuk pilihan kelima, Caroline Wozniacki dari Denmark yang tewas kepada pemain Rusia, Ekaterina Makarova 2-6, 7-6, 1-6 dan pilihan ke-11, Dominika Cibulkova dari Slovakia yang tewas kepada pemain AS, Sloane Stephens 2-6, 7-5, 3-6.

Dalam saingan lelaki, dua pemain muda pilihan juga ditunjukkan jalan keluar awal.

Pilihan keempat dari Jerman, Alexander Zverev, 20, tunduk di tangan pemain Croatia, Borna Coric 6-3, 5-7, 6-7, 6-7, manakala pilihan ke-14 dari Australia, Nick Kyrgios, 22, tewas kepada rakan senegara, John Millman 3-6, 6-1, 4-6, 1-6. – AGENSI