SPEKULASI hubungan Maria Sharapova dan Alexander Gilkes terjawab apabila pasangan itu keluar dalam keadaan romantik di Cotswolds, Cheltenham, England baru-baru ini.

Sharapova mengesahkan dia sedang berpacaran dengan ­hartawan Britain, Alexander Gilkes apabila kedua-dua mereka dilihat berpegangan tangan ketika keluar dari sebuah restoran.

Bekas pemain No. 1 dunia berusia 31 tahun itu dikatakan berpacaran dengan Gilkes, 39, sejak Januari lalu, namun tiada siapa pernah mengesahkan hubungan mereka.

Juara Grand Slam lima kali, Sharapova banyak menghabiskan masa di England sepanjang berehat panjang daripada tenis akibat kecederaan bahu kanan.

Namun begitu, ini adalah kali pertama dia dilihat keluar bersama Gilkes di khalayak, malah dalam keadaan cukup mesra.

Gilkes yang dibesarkan di London adalah Presiden dan pengasas bersama Paddle8, iaitu rumah lelongan dalam talian terkenal yang berpangkalan di New York.

Pernah berkahwin dengan pereka fesyen terkenal, Misha Nonoo sebelum bercerai pada 2012, Gilkes juga dikatakan kenalan rapat kepada Putera Harry dan Putera William.

Nonoo juga adalah orang yang bertanggungjawab memperkenalkan Harry, 34, dengan isterinya, Meghan Markle, 37.

Sharapova sebelum ini juga pernah menjalin hubungan dengan penyanyi terkenal Maroon 5, Adam Levine. – AGENSI