Sejurus pengumuman dibuat, jelitawan tenis berusia 29 tahun itu segera menyasarkan untuk membuat kepulangan ke gelanggang pada April tahun depan.

Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) memendekkan penggantungan Sharapova selama 15 bulan dengan mengatakan dia bukan ‘mengambil doping dengan niat’ selepas bekas pemain No. 1 dunia itu didapati positif mengambil meldonium ketika Terbuka Australia, Januari lalu.

“Saya mengharungi hari paling sukar sepanjang karier saya pada Mac lalu apabila saya mendapat tahu mengenai penggantungan.

“Jadi hari ini antara hari pa­ling menggembirakan apabila saya mengetahui saya boleh kembali beraksi pada April,” kata Sharapova yang pernah memenangi 35 kejuaraan Jelajah Persatuan Tenis Wanita (WTA) dan mengaut lebih AS$36 juta (RM148.93 juta) hadiah kemenangan.

Jika dia kembali ke gelanggang pada April, itu bermakna secara teo­rinya Sharapova boleh bertanding dalam kejohanan Grand Slam Terbuka Perancis yang dijadual pada Mei-Jun tahun depan.

Sharapova kelihatan amat ‘garang’ di atas gelanggang, memiliki pemikiran perniagaan dan gaya hidup yang glamor hampir kehila­ngan segala-galanya selepas didapati bersalah dan digantung dua tahun oleh tribunal bebas yang dilantik Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) sebelum membuat rayuan. – AFP