ITF dalam satu kenyataan berkata, penggantungan bintang tenis Rusia berusia 29 tahun itu berkuat kuasa dari 26 Januari lalu, iaitu pada tarikh dia disahkan gagal ujian dadah dalam kejohanan Terbuka Australia.

Itu bermakna, semua keputusan yang dicatat oleh pemain itu sepanjang Terbuka Australia dibatalkan, termasuk kejayaannya melayakkan diri ke suku akhir.

Sharapova, pemilik lima kejuaraan Grand Slam sebelum ini diuji positif dadah jenis meldonium.

“Di bawah Artikel 8.1 Program Anti-Doping Tenis 2016, Tribunal Bebas yang dilantik mendapati Maria Sharapova telah melakukan pelanggaran terhadap Peraturan Anti-Doping di bawah Artikel 2.1. Akibatnya, dia hilang kelayakan terhadap semua keputusan yang diraih dari tarikh penggantungannya.

“Dia didapati tidak layak bertanding selama dua tahun, bermula pada 26 Januari 2016,” kata ITF dalam kenyataan tersebut.

Sharapova, antara atlet wanita yang menikmati pendapatan tertinggi di dunia, mengejutkan peminat tenis antarabangsa pada Mac lalu selepas membuat pengumuman bahawa dia telah diuji positif mengambil meldonium, dadah yang telah digunakan sejak berdekad lalu untuk mengubati penyakit diabetes dan masalah degupan jantung. - REUTERS