Ini merupakan kejohanan Grand Slam pertama disertainya selepas penganjur Terbuka AS bersetuju menerima penyertaannya. Sebelum ini penyertaan Sharapova di Terbuka Perancis ditolak manakala di Wimbledon dia menarik diri kerana mengalami kecederaan paha.

“Penggantungan beliau di bawah syarat yang ditetapkan program antidoping tenis telah pun berakhir dan faktor itu membolehkannya layak diberi tiket wildcard. Ini selaras dengan amalan lalu memandangkan Sharapova adalah bekas juara Terbuka AS.

“Maka kelebihan diberikan kepadanya seperti juga bekas juara yang pernah kami berikan wildcard seperti Martina Hingis, Lleyton Hewitt, Kim Clijsters dan Juan Martin del Potro.,” kata kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Tenis AS (USTA) hari ini.

Sharapova yang kini berada di ranking 148 dunia disahkan positif dadah jenis meldonium ketika beraksi di Terbuka Australia 2016 menyebabkan dia digantung Persekutuan Tenis Antarabangsa sehingga April 2017.

Sejak berakhir hukuman tersebut, ramai pemain sedia ada mengkritik dan tidak bersetuju Sharapova diberikan tiket wildcard Grand Slam terlalu awal sebaliknya perlu menyertai kejohanan-kejohanan kecil dahulu.

Sharapova merupakan juara Terbuka AS pada 2006 selain pernah menjuarai Wimbledon pada 2014, Terbuka Australia 2008 serta Terbuka Perancis pada 2012 dan 2014. – AFP