Beraksi dalam kejohanan grand slam pertama, pemain Rusia berusia 30 tahun itu yang digantung 15 bulan kerana kesalahan doping, mengerah segala kemahiran dan keazaman dalam permainan selama 2 jam 44 minit untuk menang di Stadium Arthur Ashe.

Kemenangan itu menjadi tumpuan ketika bekas pemain No.1 dunia itu cuba bangkit apabila beraksi semula pada April lalu setelah digantung kerana positif dadah di kejohanan Terbuka Australia tahun lalu.

Kebangkitannya agak perlahan disebabkan kecederaan paha yang memaksanya melupakan aksi di Terbuka Itali dan terbaru masalah pergelangan tangan kiri menyebabkan dia tersingkir pada pusingan kedua kejohanan di Stanford awal bulan ini.

Namun, dalam aksi semalam, Sharapova tidak menunjukkan kesukaran untuk menentang Halep, sekaligus menambah rekod kemenangan 7-0 terhadap pemain dari Romania itu dalam perlawanan pusingan pembukaan.

“Tidak kira berapa rekod kemenangan saya terhadap Halep, menentangnya sentiasa merupakan lawan yang sukar, tidak kira di kejohanan mana, tidak kira di mana kami beraksi, saya tahu saya harus bekerja keras,” katanya.

Sharopova menyertai kejohanan atas tiket wild card dan menduduki ranking di bawah 100 dunia.

Menambahkan lagi kehangatan kejohanan, Halep merupakan antara pemain yang melahirkan rasa tidak puas hati kerana juara lima kejohanan grand slam itu diberikan penyertaan secara wild card dan bukannya beraksi dalam pusingan kelayakan.

Sementara itu, Venus Williams mengetuai kemaraan pemain Amerika Syarikat ke pusingan kedua selepas menang 6-3, 3-6, 6-2 ke atas Viktoria Kuzmova dari Slovakia dan Sloane Stephens menewaskan pemain Itali, Roberta Vinci 7-5 6-1.– REUTERS