Katanya, Khairy Jamaluddin dan Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail perlu bertindak sedrastik itu kerana PSM sudah keterlaluan apabila cuba menghalang kejohanan yang berupa medan pendedahan pemain muda dan pembangunan sukan itu daripada berlangsung.

“Campur tangan menteri dan MSN diperlukan dalam hal ini. Tidak boleh lagi kalau kita terus ikut rentak PSM sekarang yang orang-orang di dalamnya sudah bertahun-tahun pegang jawatan.

“Apa yang mereka (PSM) buat itu tidak patut. Sedih saya tengok tindakan mereka yang cuba menghalang peluang untuk pendedahan pemain remaja dalam kejohanan yang sudah memasuki edisi kelapan itu.

“Sektor swasta macam KFC (penaja utama sebelum menarik diri akibat isu PSM) dan Utusan sudah membantu menganjurkan pertandingan bakat baharu. Bukankah sudah bagus begitu? Hendak harapkan PSM, kesemua kejohanan anjurannya sudah dikuasai pemain elit sahaja.

“Tidak relevan tindakan PSM ini jika alasannya (kerana Utusan) hendak pertahankan sistem kiraan 15 mata apatah lagi mengugut mahu menghukum pemain, jurulatih dan pengadil yang menyertainya.

“Saya percaya ini semua gara-gara persatuan yang cuba tunjuk kuasa bahawa merekalah yang mengeluarkan sijil kepada jurulatih atau pengadil di negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

PSM melalui surat yang ditandatangani Setiausahanya, Datuk Radzuan Abdullah, bukan sahaja mengumumkan penarikan balik kebenaran kejohanan itu bahkan menggesa digugurkan perkataan kejohanan sepak takraw yang dianggapnya tidak layak digunakan.

Ugutan PSM mengenakan tindakan tatatertib itu turut cuba dikenakan bukan sahaja ke atas pemain negara malah terhadap pemain-pemain bawah umur dan jurulatih peringkat Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) yang begitu menanti-nantikan kejohanan tahunan ini.

Namun yang menghairankan ialah PSM tidak langsung menjelaskan di bawah fasal mana undang-undang atau perlembagaan mereka yang membolehkan penarikan balik kebenaran itu dibuat apatah lagi terhadap penganjur yang bukan ahli gabungan mereka.

Ugutan tindakan tatatertib terhadap pemain, jurulatih dan pengadil berstatus tertentu yang tetap menyertai kejohanan ini juga tidak dijelaskan dalam surat penarikan balik itu seperti yang mungkin termaktub menurut fasal undang-undang PSM terkini.