“Saya gembira mengesahkan Serena bakal melahirkan bayi pada tahun ini,” kata jurucakapnya, Kelly Bush Novak dalam satu kenyataan yang dihantar kepada AFP.

Gambar pemain tersebut dilihat menunjukkan Serena mengenakan baju mandi berwarna kuning dengan keadaan dirinya seperti mengandung dengan tajuk 20 minggu.

Malah tempoh jangka masa berkenaan bermakna pemain yang diiktiraf legenda tenis berusia 35 tahun itu sudah pun mengandung ketika menjuarai gelaran ke-23 Grand Slam di Terbuka Australia, Januari lalu.

Persatuan Tenis Amerika Syarikat (AS) yang juga penganjur kepada kejohanan Grand Slam Terbuka AS, mengucapkan tahniah kepada Serena menerusi Twitter.

“Dia @serenawilliams menggunakan Snapchat untuk mengumumkan dia sudah 20 minggu mengandung! Tahniah Serena,” tweet daripada badan induk tenis AS itu.

Pada Disember lalu, Serena mengumumkan pertunangannya dengan pengasas bersama Reddit, Alexis Ohanian dan berkongsi berita berkenaan di laman sosial Reddit.

Williams tidak akan menjadi pemain wanita handalan dunia pertama kembali beraksi selepas mempunyai anak namun dia akan menjadi yang paling tua.

Pemain Belgium, Kim Clijsters kembali daripada persaraan ketika usia 26 tahun selepas mempunyai anak dan memenangi tiga gelaran Grand Slam.

Bekas pemain No.1 dunia, Victoria Azarenka dari Belarus, 27 tahun memenangi Indian Wells dan Miami pada Mac tahun lepas sebelum berehat panjang menunggu kelahiran anak sulungnya pada Disember. - AFP