Williams, 36, juara Terbuka Australia tujuh kali adalah 90 daripada 100 pemain wanita terbaik dunia yang mengesahkan penyertaan dalam kejohanan Grand Slam itu.

Pemain wanita No. 1 dunia, Simona Halep dari Romania dan pemilik 16 gelaran Grand Slam, Rafael Nadal (Sepa­nyol) juga akan beraksi di Melbourne.

Begitupun, semua mata pasti tertumpu kepada kemunculan semula Williams, yang berjaya memenangi Terbuka Australia tahun lalu ketika sedang hamil lapan minggu.

“Jika pada pertandingan tahun lalu kita melihat semua rekod berjaya dipecahkan, kali ini pula kami tidak sabar untuk mengalu-alukan kepulangan ibu baharu, Serena.

“Dia kini dalam percubaan untuk menyamai rekod 24 kejuaraan Grand Slam milik Margaret Court.

“Kami adalah penganjur yang mengutamakan nilai kekeluargaan dan ramai pemain termasuk juara bertahan, Roger Federer terbang bersama anak-anak mereka ke Melbourne.

“Kami optimis dia (Williams) juga akan mengotakan janjinya untuk kembali,” kata Pengarah pertan­dingan, Craig Tiley dalam satu kenyataan hari ini.

Williams melahirkan anak perempuannya, Alexis Olympia pada 1 September lalu dan berkahwin dengan pengasas bersama Reddit, Alexis Ohanian.

Terbuka Australia 2018 akan berlangsung dari 15 hingga 28 Januari. – AFP