Bintang tenis Amerika Syarikat berusia 36 tahun itu pada tahun ini telah memakai pakaian tersebut yang mana katanya mengambil inspirasi daripada filem ‘Black Panther’ dan membuatnya berasakan seperti seorang puteri pahlawan.

Turut menyifatkan pakaian sukan tersebut sebagai menyeronokkan dan berfungsi, Williams menegaskan, baju berkenaan dapat membantunya mengatasi masalah darah beku yang telah membahayakan nyawanya selepas melahirkan anak pada tahun lalu.

Walau bagaimanapun, Persekutuan Tenis Perancis (FFT) berkata, pakaian itu atau sebarang rekaan yang menarik perhatian tidak dibenarkan dipakai oleh atlet di Roland Garros pada 2019.

“Saya percaya kadangkala kita bertindak keterlaluan. Pakaian yang dipakai Serena pada tahun ini, sebagai contoh, tidak lagi dibenarkan. Anda perlu menghormati pertandingan dan juga tempat tersebut. Semua orang mahu menikmati keseronokan aksi yang dipersembahkan,” kata Presiden FFT, Bernard Giudicelli kepada sebuah majalah tenis.

Giudicelli berkata, terdapat had tertentu berhubung soal berpakaian dalam Terbuka Perancis 2019, walaupun dia mengakui amat sukar untuk meletakkan garis panduan yang ketat.

“Pada 2019, sudah sedikit terlewat kerana koleksi pakaian telahpun siap direka, tetapi kami perlu meminta pengeluar pakaian agar merujuk kepada kami untuk sebarang keputusan,” katanya. – AFP