Menerusi video laman sosial Instagram, Williams hanya menutup payu daranya dengan tangan sambil menyanyikan lagu yang pernah dipopularkan sebuah kumpulan muzik popular dari Australia, The Divinyls' 1991 bagi menyokong Rangkaian Barah Payu Dara Australia.

“Sempena Bulan Kesedaran Payu Dara ini saya rakamkan sebuah lagi versi The Divinyls, 'I Touch Myself’ bagi mengingatkan kaum wanita tentang pentingnya menjalani pemeriksaan berkala payu dara mereka.

“Ya, usaha ini meletakkan saya berada di luar zon selesa, tetapi saya mahu melakukannya kerana isu ini memberi kesan kepada semua wanita tanpa mengira warna kulit, dan untuk wanita di seluruh dunia. Pengesanan di peringkat awal merupakan kunci kepada usaha untuk menyelamatkan lebih banyak nyawa,” kata Williams di dalam Instagram milik pemain itu.

Lagu itu ditulis oleh vokalis Divinyls dari Australia, Chrissy Amphlett yang meninggal dunia akibat menghidap barah payu dara ketika berusia 53 tahun, lima tahun lalu.

“Video muzik tersebut merupakan sebahagian daripada Projek I Touch Myself yang diilhamkan untuk penghormatan kepada penyanyi tersohor, Chrissy Amphlett, yang meninggal dunia akibat barah payu dara, yang sempat mencipta sebuah lagu popular bagi mengingatkan golongan wanita agar memberi keutamaan kepada kesihatan,” kata juara 23 kali Grand Slam itu.

Video itu telah ditonton lebih daripada 1.3 juta kali dalam tempoh 10 jam pertama selepas disiarkan pada awal pagi, hari ini, dengan peminat memuji langkah berani yang diambil bintang tenis tersebut bagi menyanyikan lagu berkenaan.

“Serena menakjubkan, satu mesej penting dan suara yang cukup indah!” komen seorang pelayar internet yang menggunakan nama pengenalan, deedpaula.

Seorang lagi peminat, alshaze47 berkata: “Ini satu persembahan yang mantap! Saya merupakan seorang bekas pesakit barah payu dara!!” - AFP