Nastase yang pernah memenangi gelaran Grand Slam pada 1970 mengeluarkan kenyataan yang dianggap tidak bertanggungjawab apabila mempersoalkan anak dalam kandungan Serena dengan berkata: “Mari kita lihat apa warnanya. Coklat atau susu.”

Serena berkata, dia amat kecewa dengan komen bersifat perkauman tersebut dan selain tidak memikirkan sensitiviti orang di sekelilingnya.

“Saya amat kecewa apabila orang seperti Ilie Nastase yang hidup dalam masyarakat ketika ini boleh membuat kenyataan perkauman terhadap saya dan anak yang bakal saya lahirkan ini.

“Saya tidak takut seperti anda dan saya bukan penakut,” kata Serena.

Ini bukan kali pertama Se­rena berdepan kecaman berbaur perkauman sebagai pemain.

Pemain tersebut pernah memboikot kejohanan Indian Wells selama 14 tahun selepas dirinya, kakaknya Venus dan keluarganya menjadi mangsa ejekan berbaur perkauman ketika Serena beraksi di final 2001.

Nastase, 70, juga digantung sementara daripada kesemua Kejohanan Tenis Antarabangsa selepas melakukan kesalahan lisan terhadap pemain British minggu lalu ketika dia memegang tanggungjawab selaku kapten skuad Fed Cup Romania. – REUTERS