Walaupun menguasai 65 peratus permainan, kesempatan itu gagal dimanfaatkan sepenuhnya anak-anak buah Mohd. Zaki Sheikh Ahmad yang diterajui penyerang berpengalaman, Efendi Abd Malek dan Azralan Azmi untuk menjelmakan bayangan gol.

Namun, persembahan mantap penjaga gol PDRM, Abdul Rahman Ismail boleh diberikan pujian kerana berjaya mempertahankan kubunya daripada dibolosi sepanjang 90 minit perlawanan.

Mohd. Zaki yang ditemui selepas perlawanan itu nyata tidak gembira dengan keputusan itu, namun beliau tetap optimis kemampuan pasukannya menghadapi saingan berikutnya.

Katanya, pemainnya bermain dengan baik pada separuh masa namun rentak itu gagal dikekalkan pada separuh masa berikutnya.

''Walaupun kita bermain secara berpasukan dengan menggerakkan serangan daripada semua bahagian, gol yang dicari sepanjang 90 minit perlawanan masih gagal dijelmakan," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Mohd. Zaki memberitahu, pasukannya telah mencuba yang terbaik bagi memastikan kemenangan pertama untuk Sarawak di halaman sendiri.

Namun, katanya, masalah kecergasan yang dialami Zamri Morshidi dan Mohd. Shahrol Saperi yang masih bergelut masalah kecederaan sedikit sebanyak mengganggu perancangannya.

''Saya menjangkakan barisan penyerang saya akan mengatasi kelemahan posisi itu dengan berita baik kepada penyerang muda, Hadrah yang mungkin boleh dibenarkan bermain pada perlawanan berikutnya oleh FAM," katanya.

Sementara itu, jurulatih pasukan PDRM, K. Thaiyamanthan menyifatkan keputusan seri itu merupakan berita baik kepada pasukannya yang datang ke Stadium Sarawak dengan misi mengelakkan kekalahan.

''Namun, kita juga menghadapi masalah yang sama sebagaimana yang dihadapi Sarawak dan kita akan memperbaiki posisi itu," ujarnya.