YUSOF ISMAIL

Pesanan itu disuarakan Datuk Mohd. Yusof Ismail yang memutuskan untuk menarik diri daripada sebarang perebutan jawatan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dalam pemilihan pucuk pimpinannya bagi penggal 2018-2021.

Sekalipun tanpa menamakan sesiapa, beliau sempat meluahkan kekecewaannya dengan pengurusan persatuan dan barisan pemain negara yang dianggapnya kurang daya semangat juang ketika Sukan SEA Kuala Lumpur, tahun lalu.

Seperti yang disuarakan kepada Utusan Malaysia, 7 Oktober lalu, Yusof terus mengulangi pendirian untuk hanya menghabiskan penggal 2014-2017 sebagai Naib Presiden PSM sehingga mesyuarat agung tahunan (AGM) pemilihan di ibu kota pada 24 Jun ini.

Katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini, beliau tidak mahu bertanding atau dicalonkan semula. “Cukuplah saya habiskan penggal ini.

“Tidak perlu rasanya bersurat rasmi untuk beritahu PSM mengenainya sebab bila sampai AGM baharu nanti, terbatallah terus jawatan saya itu.

“Saya hanya boleh ucapkan selamat maju jaya kepada PSM,” katanya yang turut melepaskan jawatan Presiden Persatuan Sepak Takraw Kedah (Pestak), akhir tahun lalu.

Ekoran pembentukan kerajaan baharu Pakatan Harapan di negeri itu, beliau juga meletakkan jawatan Bendahari Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) bersama-sama Presiden dan Setiausahanya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dan Datuk Aminuddin Omar.

Jawatan Yusof di Pestak kini diambil alih Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah yang juga Timbalan Presiden KFA.

Yusof, seorang kontraktor pembinaan, dibawa masuk sebagai seorang lagi anggota ‘Regu Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail’ yang memenangi pemilihan penggal 2014-2017 pada 13 September 2014 di Johor Bahru, Johor.